PASANGAN beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia (kiri), dan Soh Wooi Yik ketika menentang rakan senegara Teo Ee Yi, dan Ong Yew Sin dalam separuh akhir Badminton Perodua Malaysia Masters 2019, di Axiata Arena, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Ee Yi-Yew Sin yang bertemu dengan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bekerja keras hingga ke set penentuan sebelum menang 21-6, 18-21, 21-19.

Dalam aksi hari ini, Malaysia memiliki enam wakil di pentas separuh akhir namun beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita) tewas dalam perlawanan masing-masing.

Sementara itu, perseorangan lelaki, Liew Daren terpaksa menarik diri dalam aksi empat terbaik hari ini selepas mengalami kecederaan tapak kaki kiri.

Yew Sin berkata, mereka banyak melakukan kesilapan dalam perlawanan hari ini kerana terlalu mahukan kemenangan tetapi pada masa sama berasa sedih kerana ramai wakil negara tidak berjaya ke aksi final.

“Tekanan itu memang ada kerana hanya kami sahaja di pentas final esok.

“Kami sangat sedih kerana melihat satu-satu rakan kami gagal ke saingan akhir esok dan esok sudah pasti kami akan berikan saingan terbaik,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, hari ini.

Pasangan negara itu akan bertemu pasangan No.1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang berjaya mengetepikan V Shem-Wee Kiong 21-18, 24-22. - UTUSAN ONLINE