Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Gergasi dari negara kerdil

Carolina Maria Marin Martin

CAROLINA MARIN 7
CAROLINA MARIN

DATANG dari sebuah negara kerdil dalam badminton dan hampir menjadi penari Flamenco (tarian terkenal di bandar kelahirannya), keputusan berani Carolina Marin telah membawanya menjadi juara dunia.

Sewaktu zaman kanak-kanak, Marin terpaksa memilih antara Flamenco atau badminton, namun dia mengambil risiko dengan menjadikan badminton sebagai karier selepas bakatnya dikesan jurulatih, Fernando Rivas.

Marin juga sanggup menangguhkan pengajian di universiti biarpun sedar badminton bukan sukan popular dan dia perlu bersaing dengan bintang dunia yang didominasi pemain Asia.

Keputusan nekad pemain berusia 24 tahun itu nyata berbaloi apabila dia membuka mata ramai pihak selepas dinobat sebagai juara dunia buat kali pertama pada 2014, sebelum mempertahankannya pada 2015.

Kemuncak karier Marin adalah apabila dia memahat sejarah muncul pemain bukan Asia pertama merangkul pingat emas perseorangan wanita pada Sukan Olimpik di Rio tahun lalu.

Bercerita bagaimana dia mula mengenali badminton, Marin berkata: “Suatu hari kawan baik saya mengajak saya mencuba sukan baharu. Pada awalnya ia kelihatan agak pelik kerana di sini kami biasa dengan tenis.”

Kariernya mula berkembang pada usia 13 tahun apabila dia menjuarai kejohanan bawah 15 tahun Sepanyol.

Rivas telah meminta Persatuan Badminton Sepanyol meyakinkan keluarga Marin untuk membawa pemain itu ke Madrid.

“Ia keputusan sukar kerana saya perlu berpisah dengan keluarga bagi meneruskan impian dan berhijrah ke Madrid. Kalau saya lewat buat keputusan, mungkin saya tidak akan menjadi juara dunia dan Olimpik,” ujarnya.

Perjalanan karier Marin selepas berhijrah ke Madrid juga tidak mudah. Bermain badminton di negara yang mana bola sepak dan tenis adalah sukan No. 1 membuatkan Marin berdepan kesukaran untuk mendapatkan rakan sepelatih terbaik.

“Ketiadaan pemain wanita yang bagus menyebabkan saya terpaksa berlatih dengan pemain lelaki atau remaja. Ia tidak mudah kerana saya tiada rakan sepelatih berbanding pemain utama lain,” katanya.

Marin juga mengakui, kesibukan turut menguji cintanya, namun dia cuba mendekatkan diri dengan Alejandro dengan sentiasa memakai rantai bersama loket C dan A setiap kali beraksi.

“C adalah nama saya dan A teman lelaki saya, Alejandro.

“Kehidupan sebagai pemain badminton menyebabkan waktu bersama keluarga, teman lelaki dan rakan-rakan amat terhad.

“Sebahagian besar masa saya adalah menjelajah seluruh dunia. Kalau pulang ke Sepanyol sekali pun, saya menetapkan peraturan bahawa setiap malam saya kena tidur awal kerana perlu berlatih pada awal pagi esok.

“Kadang kala teman lelaki saya merungut tetapi dia faham karier saya memerlukan saya banyak ke luar negara. Jika dia mahu menjadi sebahagian daripada hidup saya, dia perlu memahami perkara ini,” katanya lagi.

Asal: Huelva, Sepanyol

Umur: 24 tahun

Tinggi: 1.72m

Berat: 65kg

Permainan: Tangan kiri

Jurulatih: Fernando Rivas

Ranking dunia: 2

Kelab kegemaran: Barcelona

Idola: Rafael Nadal

PENCAPAIAN

» Pingat emas Sukan Olimpik 2016

» Juara Dunia 2015

» Juara Dunia 2014

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain