Daren yang bakal menjangkau usia 31 tahun, Isnin ini tersingkir selepas tumpas kepada pilihan keenam, Momota 16-21, 5-21 dalam tempoh 37 minit.

Semalam, Daren mengalami kecederaan buku lali ketika menentang rakan senegara Momota, Kanta Tsuneyama pada suku akhir, namun dia tetap berjuang untuk menang 22-20, 21-23, 22-20 dalam tempoh satu jam, 20 minit.

Biarpun kempunan untuk melangkah ke final, namun Daren wajar pulang bangga kerana dia hadir di Nanjing sebagai pemain bukan pilihan, beraksi di luar naungan skuad kebangsaan dan mencatat pencapaian terbaik dalam kariernya.

“Sebenarnya, rancangan awal saya adalah cuba memenangi set pertama memandangkan saya tidak pulih sepenuhnya daripada kecederaan semalam, malangnya lawan lebih bagus.

“Di set kedua, saya semakin lemah, dan kesakitan kecederaan kaki yang dialami sejak semalam memang mengganggu persembahan hari ini,” katanya kepada pemberita.

Sejak semalam lagi Daren membayangkan aksi separuh akhir menentang Momota bakal berlangsung sukar selepas dia ditimpa kecederaan akibat terjatuh.

Dalam masa sama, pemain No. 39 dunia itu turut menzahirkan rasa bangga dan gembira setelah namanya tersenarai sebaris Lee Chong Wei and Wong Choong Hann kerana berupaya menjejak kaki ke separuh akhir Kejohanan Dunia.

Dalam satu lagi separuh akhir, juara dua kali Chen Long dari China ditunjukkan jalan keluar oleh rakan senegara, Shi Yuqi 11-21, 17-21 dalam tempoh 44 minit.

Kemenangan itu membolehkan pilihan ketiga, Shi Yuqi menokok kemenangan kedua ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 Chen Long sepanjang enam rekod pertemuan.

Dalam perseorangan wanita, jaguh Sepanyol, Carolina Marin berpeluang memburu kejuaraan dunia buat kali ketiga selepas menumpaskan He Bingjiao 13-21, 21-16, 21-13.

Dia bakal berdepan jaguh India, P.V Sindhu yang menyingkirkan juara bertahan, Akane Yamaguchi dari Jepun 21-16, 24-22.