Malah, pemain berusia 26 tahun itu tetap merendah diri dan menghormati senior mereka, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang sudah bergelar pemain profesional.

Pemain kelahiran Muar, Johor itu juga berpendapat mereka belum mencapai taraf pemain yang berada di kelompok lima terbaik dunia walaupun memberi tentangan hebat kepada pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda pada perlawanan suku akhir Piala Sudirman di Nanning, China, tempoh hari.

“Kalau cakap lebih kurang sama, tidaklah lebih kurang sangat sebab kita hendak menang dengan mereka pun kita kena pamerkan prestasi lebih bagus daripada biasa.

“Dengan V Shem-Wee Kiong, mereka lebih berpengalaman, kita boleh rasa bila bermain dengan mereka. Semua orang hendak layak ke Sukan Olimpik Tokyo. Ranking untuk kedudukan undian, kalau kita bermain dengan bagus, ranking juga akan naik,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Pada perlawanan menentang Jepun di suku akhir, Ee Yi yang bergandingan dengan Ong Yew Sin turun selaku wakil pertama negara menentang pasangan Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, bagaimanapun mereka gagal menyumbang mata apabila tewas 21-13, 24-26, 21-23.

Namun, apa yang menarik perhatian ialah aksi Ee Yi yang masih mahu meneruskan perlawanan meskipun mengalami kecederaan dagu selepas terjatuh ketika mahu menyelamatkan hantaran lawan.

Menceritakan kembali insiden ‘berdarah’ itu, Ee Yi berkata, dia langsung tidak menyedari kecederaan dialami agak serius dan sedikit pun tidak berasa sakit.

“Saya minta pasukan medik hanya lapkan darah, sapukan sedikit ubat sebab saya mahu habiskan permainan yang berbaki berapa mata sahaja lagi. Kecederaan itu tidak menjejaskan momentum perlawanan saya cuma selepas bangun itu saya agak bingung dan pergerakan agak perlahan,” katanya.

Pasangan negara yang ketika itu terikat 19-19 dalam set penentuan, terpaksa akur dengan kehebatan beregu Jepun yang menduduki ranking kedua dunia itu.

Sementara itu, Ee Yi berkata, dia kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi Terbuka Australia pada 4 hingga 9 Jun, serta cabaran pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland dari 19 hingga 25 Ogos depan.

“Kita sudah ada peminat dan penyokong. Apa yang penting, kita kena kekalkan semangat juang tinggi dan tingkatkan prestasi permainan, jangan tunjuk kita mudah putus asa dan berikan yang terbaik,” katanya. - BERNAMA