Daren dipilih untuk menggalas cabaran negara dalam Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang bagi menggantikan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei yang mengalami masalah pernafasan.

Pemain berusia 31 tahun itu menyedari tanggungjawab yang bakal digalasnya sangat berat selain mengakui Jepun merupakan antara pasukan handalan tetapi mengakui Malaysia masih berpeluang untuk cemerlang dalam perlawanan pertama itu.

“Sebelum ini saya kalah kepada Momota dalam Kejohanan Dunia dengan jurang mata yang sangat besar tetapi ketika itu saya mengalami kecederaan.

“Saya berharap di sini saya dapat beraksi lebih baik dan melakar kejutan, kerana sebagai perseorangan pertama saya perlu memberikan kelebihan kepada pasukan negara dalam perlawanan itu,” katanya ketika ditemui di Istora Senayan, di sini hari ini.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia itu memberitahu, Malaysia mampu melakar kejutan dalam perlawanan itu meskipun Jepun diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam temasya edisi ke-18 itu.

“Memang undian ini tidak memihak kepada kita tetapi tidak bermakna peluang kita untuk mara sudah tertutup.

“Kami tidak akan menyerah kalah hanya kerana mereka adalah pasukan pilihan, kami akan lakukan yang terbaik kerana itu yang diperlukan untuk menang, tidak kira Jepun atau sesiapa sahaja,” katanya. – MINGGUAN