Daren sebelum ini berkeyakinan untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa dalam saingan kali ini bagi menyamai pencapaian edisi lalu.

Dia menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan itu namun cabaran Antonsen tidak semudah disangka dan Daren terpaksa mengerah segala kudrat serta pengalaman yang ada sebelum tunduk 17-21 pada set pertama.

Dia kemudian bangkit pada awal set kedua apabila mendahului 4-0 tetapi kedudukan berubah selepas Antonsen bangkit mengikat kedudukan 5-5.

Daren cuba mengejar, namun matanya terhenti pada angka 13 untuk pulang hampa susulan kekalahan 13-21 pada penghujung perlawanan.

“Memang lawan saya jauh lebih baik hari ini, dia lebih bersedia.

“Saya rasa sangat rugi pada set kedua kerana saya sudah mendahului. Saya tidak cukup fokus dan membuatkan dia berjaya mengejar dan menang,” katanya.

Turut terkandas di pusingan kedua ialah perseorangan wanita negara, Soniia Cheah yang tewas kepada pilihan ke-11 dari Kanada, Michelle Li 19-21, 4-21.

Pasangan beregu Teo Ee Yi-Ong Yew Sin juga gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 13-21, 18-21 kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.-UTUSAN ONLINE