Misbun, yang sudah se­minggu kembali ke pangkuan skuad badminton kebangsaan berkata, bagi membina setiap pemain secara khusus, penilaian harus dilakukan dari aspek kecergasan, taktikal, kebolehan teknikal, tindak balas dan ketahanan fizikal.

“Bagi setiap kejohanan pemain akan melalui enam pu­singan, jadi mereka memerlukan kekuatan untuk berdepan lima orang.

“Banyak perkara perlu dilakukan kerana kebanyakan pemain rasa cergas tetapi apabila masuk pusingan ketiga, badan sudah tidak tahan.

“Saya lihat kebanyakan pemain memiliki kecergasan yang baik untuk perlawanan tetapi bukan kejohanan,” katanya di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Misbun memberitahu, dia akan cuba menerapkan sistem latihan baharu secepat mungkin kerana jelas banyak perkara yang perlu diperbaiki ketika ini.

“Kalau boleh pukul 5 pagi saya mahu mulakan latihan tetapi di sini dewan buka pukul 6.30 pagi, jadi dewan buka saya terus mulakan latihan.

“Sebelum itu mereka perlu panaskan badan dahulu dan masa latihan menjadi lebih lama kerana ramai pemain.

“Selepas ini mereka akan lebih peka dengan pengurusan masa kerana sebelum ini pada sebelah malam lebih banyak bermain te­lefon dan makan di luar,” katanya.