Beliau juga meminta para peminat sukan badminton tanah air supaya tidak memberikan sebarang tekanan sebaliknya terus memberikan sokongan kepada jaguh No.1 negara itu.

Walaupun berdepan prestasi tidak menentu, Chong Wei sehingga kini kekal sebagai jaguh No.1 negara dan pemain itu akan terus menabur bakti selagi khidmatnya diperlukan.

“Semalam saya ada bertemu dengannya bagi membincangkan situasi yang dihadapinya dan pemain itu menegaskan bahawa dia tidak berdepan sebarang masalah.

“Mungkin dia ada perasaan takut-takut selepas tewas awal dalam beberapa kejohanan sebelum ini tetapi dia sudah mengesahkan akan beraksi di (Siri Super) Terbuka Hong Kong dan (Siri Super Premier) Terbuka China.

“Bagi saya, biar dia beri tumpuan satu kejohanan demi satu kejohanan selain memilih kejohanan yang ingin disertainya dan jangan beri tekanan kepadanya,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza juga mahu ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek dan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit menyediakan senarai pemain yang akan beraksi di Piala Thomas selewat-lewatnya, Januari ini.

Katanya, senarai itu sangat penting bagi membolehkan persiapan rapi dilakukan menjelang aksi yang akan berlangsung pada 20-27 Mei hadapan.

Pada masa sama, beliau juga mengakui bimbang dengan prestasi semasa yang ditunjukkan gandingan beregu lelaki negara selain menyifatkan mereka sangat penting dalam menentukan hala tuju negara di dalam kejohanan dwitahunan itu.

“Saya mahu Misbun dan Soon Kit sediakan senarai pemain ke Piala Thomas selewat-lewatnya Januari ini kerana kita perlu melakukan perancangan rapi.

“Kita semua tahu bahawa beregu lelaki sangat penting dalam kejohanan ini dan Soon Kit masih melakukan penilaian terhadap pemain-pemain sedia ada,” katanya.