Rashid Sidek
RASHID SIDEK

Justeru bekas jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menganggap juara individu Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu itu tidak boleh tewas kerana kegagalannya bakal mempengaruhi peluang seluruh pasukan pada edisi ke-30 ini.

“Kalau dia kalah, kekuatan pasukan bakal berkurangan. Macam mana pun, kita perlukan mata daripadanya. Sebagai kapten, nasihat dan pengalamannya (kepada rakan sepasukan) amat penting,” kata bekas anggota skuad juara Piala Thomas 1992 ini.

Terdahulu Rashid dan bekas pemain beregu negara, Lee Wan Wah menghadiri sidang akhbar penajaan jenama Fleet kepada skuad Piala Uber Mauritius yang dibimbing bekas pemain Malaysia, K. Yogendran di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini hari ini.

Chong Wei, 36, mengetuai skuad Piala Thomas yang turut dibarisi Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Leong Jun Hao (perseorangan) selain beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Mohd. Arif Latif.

Malaysia berdepan laluan getir pada peringkat Kumpulan D apabila diundi dengan juara bertahan, Denmark selain Algeria dan Rusia di Arena Impact, Bangkok dengan sasaran utama ialah mara ke separuh akhir, seperti mana di Kunshan, dua tahun lalu.

Dengan kudrat yang kian dimamah usia kata Rashid, Chong Wei mungkin lebih wajar direhatkan apabila menentang pasukan bukan pilihan seperti Algeria dan Rusia supaya lebih bersedia dan fokus apabila berdepan lawan jauh lebih handal iaitu Denmark.

“Itu terpulang kepada percaturan jurulatih tetapi bagi saya, tidak mengapa kalau dia tidak diturunkan dengan lawan yang kurang kuat tetapi apabila menentang pasukan kuat, dia tidak boleh kalah,” tegasnya.

Wan Wah pula menaruh keyakinan kepada gandingan V Shem-Wee Kiong dan Aaron-Wooi Yik untuk turut menyerlah sambil menganggap peluang skuad negara bakal lebih terbuka apabila memasuki suku akhir di mana undian semula bakal dilakukan.

“Saya rasa Aaron-Wooi Yik mampu memuncak dan buat kejutan kerana kurangnya tekanan dan harapan tinggi yang diletakkan. V Shem-Wee Kiong pula perlu lebih berkomunikasi di gelanggang jadi beregu kita juga berpeluang cerah.

“Saya tidak letak siapa perseorangan atau beregu yang perlu cari mata kerana yang penting satu pasukan negara menang acara berpasukan ini. Sesiapa sahaja pilihan jurulatih, tentunya ada kelebihan masing-masing.

“Bila masuk suku akhir, peluang setiap pasukan bakal terbuka. Saya percaya pemain muda negara turut mahu buktikan kemampuan dan tunjukkan dunia merekalah bintang Malaysia yang sedang meningkat,” katanya.