Berdasarkan undian yang dikeluarkan awal pagi tadi, Chong Wei berada di dalam Kumpulan A bersama pemain Surinam, Soren Opti dan Derek Wong dari Singapura untuk persaingan peringkat awal.

Berdasarkan undian, pilihan ketiga Lin Dan dilihat akan menjadi penghalang terbesar Chong Wei kerana kedua-dua mereka bakal bertemu di separuh akhir dengan jangkaan masing-masing tidak kecundang dalam perlawanan sebelumnya.

Pemain berusia 34 tahun itu memberitahu, undian yang diterimanya sangat baik dan perkara itu membolehkannya membuat persediaan sebaik mugkin ter­utama dari segi mental.

“Saya tidak fikir mengenai separuh akhir, saya tahu semua orang akan tanya saya mengenai perkara ini.

“Saya akan beri tumpuan satu demi satu perlawanan ke­rana mungkin undian saya agak baik tetapi saya tidak boleh memandang rendah cabaran pemain-pemain ini meskipun mereka bukan lawan yang sukar.

“Kalau saya jumpa dia (Lin Dan) di separuh akhir, saya akan lawan,” katanya selepas majlis pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perdana Putra, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri meluangkan masa bertemu kontinjen Malaysia yang akan beraksi di Sukan Olimpik selain turut memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Chong Wei berharap orang ramai akan terus memberikan sokongan bukan sahaja kepada dirinya tetapi kepada keseluruhan kontinjen Malaysia yang akan beraksi di Rio.

“Semua pemain ada bersama saya, pemain perseorangan dan pasangan beregu, kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mencari kejayaan di sana.

“Kalau kami kalah, kami perlu terima bahawa kami tidak cukup bagus tetapi sudah pasti saya sa­ngat kecewa sekiranya kalah kerana ini merupakan Sukan O­limpik terakhir saya,” katanya.