Bekas pemain No. 1 dunia itu, yang perlu mencari keputusan terbaik di China bagi mengembalikan keyakinan dan memburu tiket ke Siri Super Dunia Akhir di Dubai, 14-18 Disember depan hanya mengambil masa 26 minit untuk mengetepikan Hsu Jen Hao dari Taiwan 21-5, 21-7.

Tidak pernah meraih sebarang kejuaraan sejak memenangi gelaran All England keempat pada Mac lalu, Chong Wei, 35, kini akan menentang pemain yang mengejutkannya dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos lepas, Brice Leverdez dari Perancis.

Chong Wei sebelum ini mencatat keputusan buruk dalam dua penampilan terakhir selepas tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Denmark dan pusingan pertama Terbuka Perancis, bulan lalu,

Di Odense, pemain No. 7 dunia itu ditunjukkan jalan keluar oleh H.S. Prannoy dari India, manakala di Paris dia tumpas kepada pemain sedang meningkat Jepun, Kenta Nishimoto.

Dalam satu lagi aksi tumpuan, gandingan baharu Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong menunjukkan permulaan baik apabila menang mudah 21-9, 21-10 ke atas Mathias Christiansen-David Daugaard dari Denmark dalam saingan beregu lelaki.

Pasangan itu yang digandingkan pada September lalu bagaimanapun bakal berdepan cabaran getir pilihan kelima dari China, Liu Cheng-Zhang Nan yang mara selepas menumpaskan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 21-13, 21-13.

Turut meneruskan kemaraan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang bagaimanapun dipaksa mengharungi aksi mendebarkan sebelum menang dalam permainan tiga set.

Vivian-Khe Wei menumpaskan pasangan Taiwan Kai Hsin-Hung Shih Han 15-21, 21-19, 21-11, manakala Mei Kuan-Meng Yean menyingkirkan satu lagi beregu Taiwan, Lin Xiao Mei-Wu Fang Chien 21-6, 17-21, 21-9.

Vivian-Khe Wei akan bertemu pilihan keenam, Shiho Tanaka-Kohanu Yonemoto dari Jepun, manakala Mei Kuan-Meng Yean menempah pertemuan dengan pilihan kelima, Chang Ye Na-Jung Kyung Eun dari Korea Selatan.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi tiga beregu campuran negara selepas Chan Peng Soon-Cheah Yee See, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai kandas awal. Turut tersingkir beregu lelaki, Goh V Shem-Teo Ee Yi.

Kejohanan bernilai AS$700,000 (RM2.92 juta) itu turut menyaksikan juara dunia lima kali dan pilihan ketiga, Lin Dan dari China kalah mengejut 19-21, 16-21 kepada Jonatan Christie dari Indonesia. - UTUSAN ONLINE

KEPUTUSAN (pusingan pertama)

Perseorangan lelaki: LEE CHONG WEI kln Hsu Jen Hao (Tpe) 21-5, 21-7

Beregu lelaki: ONG YEW SIN-TAN WEE KIONG kln Mathias Christiansen-David Daugaard (Den) 21-9, 21-10; Li Junhui-Liu Yuchen (Chn) kln GOH V SHEM-TEO EE YI 24-22, 18-21, 21-18.

Beregu wanita: CHOW MEI KUAN-LEE MENG YEAN kln Lin Xiao Mei-Wu Fang Chien (Tpe) 21-6, 17-21, 21-9; VIVIAN HOO-WOON KHE WEI kln Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han (Tpe) 15-21, 21-19, 21-11

Beregu campuran: Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul (Tha) kln CHAN PENG SOON-CHEAH YEE SEE 21-12, 15-21, 21-17; Tang Chun Man-Tse Ying Suet (HK) kln TAN KIAN MENG-LAI PEI JING 21-15, 21-9; Takuro Hoki-Sayaka Hirota (Jpn) kln GOH SOON HUAT-SHEVON JEMIE LAI 22-20, 16-21, 21-19