SYED SADDIQ
SYED SADDIQ 

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cukup terharu dengan semangat yang ditonjolkan oleh jaguh badminton nombor satu negara itu.

Beliau juga berharap rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada Chong Wei dan keluarganya dalam menghadapi dugaan yang menimpa dirinya.

“Sebelum Chong Wei berlepas ke Taiwan, saya sempat bertemu beliau dan ketika itu beliau kata, beliau sudah tidak sabar-sabar untuk kembali beraksi, beliau menunjukkan semangat yang begitu berkobar-kobar.

“Kalau orang lain yang melaluinya mungkin agak sukar untuk menerimanya tetapi Chong Wei masih mahu beraksi dan berbakti untuk negara, disebabkan beliau pernah kalahkan juara dunia, saya percaya beliau boleh kalahkan kanser ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah World Electronic Sports Games Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas masalah kesihatan Datuk Lee Chong Wei selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampil mengesahkan bahawa jaguh nombor satu negara itu menghidap kanser hidung peringkat awal dan kini sedang menjalani rawatan di Taiwan dan dijangka pulang ke ibu negara dalam tempoh dua minggu lagi selepas menamatkan sesi rawatannya. -UTUSAN ONLINE