Bekas pemain No. 1 dunia itu, yang merangkul gelaran All England pada Mac lalu, mudah me­numbangkan pilihan kedua Son Wan-ho dari Korea Selatan 21-11, 21-12 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung selama 37 minit di Hong Kong Coliseum.

Ini merupakan kemenangan ke-11 Chong Wei ke atas Wan-ho dalam 13 pertemuan antara mereka.

Pemain berusia 35 tahun itu bagaimanapun kempunan untuk bertemu musuh tradisinya Lin Dan esok, apabila pemain dari China tersebut tewas kepada rakan senegara Shi Yuqi 13-21, 21-17, 21-15 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia yang masih berada dalam kejohanan itu setelah langkah gandingan baharu lelaki negara Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong tersekat hari ini.

Yew Sin-Wee Kiong tewas kepada pasangan No. 1 dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia dengan 14-21, 17-21.

Ini merupakan pertemuan sulung mereka dengan pasangan Indonesia itu sejak digandingkan pada September lalu, selepas Wee Kiong tidak sehaluan lagi dengan Goh V Shem.

Wee Kiong-V Shem adalah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio pada tahun lalu dan mula bergandingan sejak kempen Piala Thomas 2014.