Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei adalah antara rakyat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan sikap prihatinnya terhadap golongan yang memerlukan.

Pada sambutan Tahun Baharu Cina yang lalu, Chong Wei bersama isteri yang juga bekas pemain badminton negara, Wong Mei Chew serta dua anak mereka telah meluangkan masa melawat anak-anak yatim di Pusat Jagaan Sinar Ceria, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menerusi akaun Facebook milik Pusat Jagaan Sinar Ceria/@Pusatsinarceria, sebuah video dan beberapa keping gambar kedatangan Chong Wei serta keluarganya telah dikongsi dalam laman sosial tersebut.

Chong Wei yang berasal dari Bukit Mertajam meluang masanya berbual mesra bersama anak-anak berkenaan. Bekas pemain No. 1 dunia itu, turut memberi angpau kepada anak-anak yang bertuah itu, walaupun sibuk dengan sesi latihan di ibu negara, selepas pulih daripada kanser hidung.

Selain angpau, Chong Wei turut menghulurkan bantuan barangan makanan seperti beras dan keperluan lain.