Pengenalan servis baharu itu, yang memerlukan setiap pemain memegang bulu tangkis pada ketinggian 1.15 meter dari lantai gelanggang, menerima pelbagai kritikan semasa Terbuka Jerman minggu lalu dan dijangka terus menerima bantahan apabila All England berlangsung di Birmingham minggu ini.

Ini bermakna pemain yang tinggi perlu sedikit membongkok ketika melakukan servis manakala pemain yang rendah dijangka tidak menghadapi masalah.

Chong Wei, yang merupakan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik, berpendapat servis baharu itu tidak seharusnya dimulakan dalam kejohanan berstatus elit seperti All England kerana kebanyakan pemain utama dunia termasuk dirinya masih belum faham dengan format baharu yang diperkenalkan oleh BWF.

Pada masa sama, dia juga mengakui tidak memahami apakah matlamat sebenar BWF dalam memperkenalkan peraturan ser­vis baharu itu.

“Saya mengakui tidak begitu faham dan tidak pernah bermain dengan servis baharu ini tetapi saya ada dengar beberapa pemain mengemukakan bantahan semasa Terbuka Jerman.

“Kita tengok nanti apa yang akan berlaku dalam All England kerana ini merupakan kejohanan yang sangat penting, jadi semua pemain perlu berhati-hati,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini baru-baru ini.

Chong Wei menjuarai All England pada 2010, 2011, 2014 dan 2017 untuk menyamai rekod dua legenda badminton negara iaitu Wong Peng Soon (1950, 1951, 1952 dan 1955) dan Eddy Choong (1953, 1954, 1956 dan 1957).

Pemain berusia 36 tahun itu akan menjadi pemain terbaik dalam sejarah badminton negara dengan rekod lima kejuaraan seandainya muncul juara dalam edisi kali ini.

Dan, sama ada kejohanan itu bakal menggunakan servis baharu atau tidak Chong Wei berkata dia sudah bersedia untuk memperbaiki rekod itu dan akan berusaha untuk mengatasi apa sahaja halangan bagi merealisasikan impiannya.

“Untuk umur saya sekarang, 36, kalau menang lebih bagus. Saya sudah menang empat kali dan saya berharap dapat memecahkan rekod pemenang terbanyak,” katanya.