Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya turut bergantung kepada beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk mengikut jejak basikal serta terjun yang sudah pun memiliki juara dunia dari Malaysia.

“Sudah tentu harapan kita (mahu memiliki juara dunia) kini tidak lagi bergantung hanya kepada Datuk Lee Chong Wei. Kita juga ada Wee Kiong-V Shem dan Kian Meng-Pei Jing.

“Sudah pasti badminton mahu mempunyai pemain yang bergelar juara dunia pertama dari sukan ini. Kita akan bekerja keras untuk itu.

“Saya telah maklumkan kepada pengurus pasukan (ke Glasgow Scotland) untuk memastikan segala keperluan pemain dipenuhi.

“Kami sedar tekanan sudah pasti kepada Chong Wei. Jadi kami ucapkan selamat maju jaya kepadanya dan berdoa semoga dia dapat melakukan yang terbaik.

“Selepas basikal trek dan terjun, sudah tentu badminton juga mahukan juara dunia,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Bukit Kiara dekat sini hari ini.

Sehingga ini katanya, Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan sah akan mengiringi Chong Wei ke Kejohanan Dunia di Glasgow dari 21 hingga 27 Ogos ini iaitu hampir serentak de­ngan Sukan SEA 2017 di sini.

“Saya akan adakan pertemuan dengan pemain yang bakal ke Kejohanan Dunia selepas berakhir perhimpunan bulanan yang julung kali diadakan esok.

“Keadaan persiapan Chong Wei adalah baik dan marilah kita berdoa untuk beliau,” ujarnya.

Hari ini, turut diadakan undian Kejohanan Dunia di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini.

Turut hadir hadir dalam majlis itu adalah Presiden BWF, Poul Erik Hoyer Lar­sen; Ketua Undang-undang Kedutaan Sepanyol, Mritxell Paraye Sabes serta Pengurus Pengiklanan dan Komunikasi Total Marketing & Services Asia, Michelle Luo.