Ee Yi-Yew Sin yang mene­rima sokongan padu daripada penyokong yang hadir di Axiata Arena, ternyata bukan tandingan Marcus-Kevin apabila terpaksa akur dengan keputusan 15-21, 16-21.

Kekalahan itu merupakan yang keempat berturut-turut buat pasangan negara kepada jaguh Indonesia itu, selepas kali terakhir tewas pada Siri Jelajah Dunia 1,000 Terbuka Indonesia, tahun lalu.

Ee Yi berkata, permainan mereka semakin menunjukkan peningkatan, namun, masih belum mampu untuk menandingi kualiti yang dimiliki Marcus-Kevin.

Berbanding dengan perlawanan sebelum ini, aksi hari ini adalah yang terbaik buat mereka, namun, masih banyak yang perlu diperbaiki khususnya dari segi kualiti pertahanan.

“Memang kualiti dan pe­ngalaman mereka jauh lebih baik daripada kami tetapi secara keseluruhan, stan­dard kami dengan pemain utama dunia dilihat tidak begitu jauh dan keyakinan kami semakin bertambah. Selepas ini, kami akan beri tumpuan kepada aksi Indonesia Masters yang bermula minggu depan,” katanya.

Majlis penyampian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman berbangga dengan pencapaian dipamerkan Ee Yi-Yew Sin dalam kejohanan itu dan percaya ada beberapa perkara lagi yang perlu diperbaiki untuk mening­katkan prestasi mereka.

“Kalau dilihat permainan, memang saya gembira kerana ada peningkatan dan berjaya ke final. Semua tahu Marcus-Kevin pasangan utama dunia, mereka mempunyai kualiti luar biasa,” katanya.