Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman berkata, sasaran itu adalah realistik dan setiap pasangan perlu tampil dengan permainan konsisten dalam setiap pertandingan bermula di Terbuka Australia yang akan bermula, minggu depan.

Tiga pasangan negara yang akan turun beraksi ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani.

“Saya berharap mereka dapat bermain secara konsisten bermula dari sekarang bagi memperbaiki kedudukan ranking. Mereka perlu bermula selangkah demi selangkah dan sekurang-kurangnya berada pada suku akhir atau separuh akhir.

“Pencapaian mereka dalam Piala Sudirman sebelum ini boleh dijadikan motivasi, tetapi, ia berbeza dengan acara individu, namun, saya harap mereka boleh terus konsisten,” katanya.

Kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 itu akan menampilkan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, selain, perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Vivian Hoo-Yap Cheng Wen.

Turut beraksi, pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Antara barisan pemain profesional yang akan turun beraksi bagi memburu mata kelayakan Sukan Olimpik termasuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, selain, pemenang pingat gangsa kejohanan dunia, Liew Daren dan Chong Wei Feng. - UTUSAN ONLINE