CHONG WEI FENG tewas menentang Qiao Bin dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Singapura, semalam.  - AFP

Beregu campuran nombor dua negara itu mencatatkan kemenangan mudah 21-17, 21-13 ke atas Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari pada pertarungan selama 33 minit di Stadium Tertutup Singapura di sini.

Soon Huat-Jemie Lai, selaku pilihan kedua kejohanan, akan berdepan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pentas separuh akhir esok.

Dalam pada itu, pasangan Thailand itu mara ke separuh akhir selepas terpaksa berhempas pulas selama 52 minit sebelum mengalahkan gandingan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dalam rubber set 18-21, 21-8, 21-16.

Sementara itu, pilihan utama beregu campuran dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir akan berdepan dengan gandingan senegara, AKhbar Bintang Chayono-Winny Oktavina Kandow pada pertemuan separuh akhir.

Tontowi-Liliyana hanya memerlukan masa 31 minit untuk meneruskan buruan gelaran apabila menyingkirkan gandingan pilihan ketujuh, Reginald Lee-Chau Hoi Wah dari Hong Kong dalam straight set 21-16, 21-15.

Akhbar-Winny pula menyingkirkan gandingan Taiwan, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan 21-10, 21-13 dalam masa 25 minit pada satu lagi aksi suku akhir.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei Feng gagal meneruskan cabaran pada kejohanan bernilai US$355,000 (RM1.44 juta) itu apabila gagal ke separuh akhir selepas tunduk kepada pemain China, Qiao Bin, 14-21, 18-21.

Beregu lelaki negara, Mohamad Arif Ab. Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub pula tewas kepada beregu China,Ou Xuanyi-Xiangyu Ren 21-9, 16-21, 15-21 dalam masa 45 minit.