Pakar beregu negara yang juga pemenang Piala Thomas 1992, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Cheah Soon Kit perlu merangka strategi terbaik bagi mendepani cabaran daripada negara-negara bertanding.

Katanya, saingan kali ini lebih mencabar terutama dengan peningkatan daripada negara-negara bukan tradisi.

“Kita harus letak pemain-pemain terbaik pada pusingan kelayakan kerana ia membolehkan kita membuat penilaian terhadap kemampuan pemain Malaysia untuk melangkah jauh, jadi perlu buat analisis bermula sekarang.

“Kita juga nak lihat bagaimana Soon Kit melakukan percaturan mengenai siapa yang akan turun selaku beregu kedua serta beregu simpanan dalam Piala Thomas nanti. Bagi saya, peranan beregu sangat penting,” katanya selepas Kejohanan Kem Bakat Badminton KBS 2017 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, di sini semalam.

Malaysia kini menghuni ranking ketujuh dunia di hadapan Indonesia, India serta Hong Kong dan perlu menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik pada Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Alor Setar bagi mendapatkan slot automatik Piala Thomas di Bangkok, Mei hadapan.

Seandainya gagal ke separuh akhir dan tiga pasukan di bawahnya berjaya ke saingan empat terbaik, maka Malaysia akan mencipta sejarah tersendiri apabila gagal ke kejohanan Piala Thomas buat kali pertama dalam sejarah penglibatannya.

Sementara itu, Jalani juga menyuarakan kegembiraannya apabil pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kembali bergandingan kerana secara tidak langsung akan membantu memperkuatkan skuad Piala Thomas negara.

“Beregu kita (V Shem-Wee Kiong) kembali digandingkan selepas dipecahkan sebelum ini kerana berlaku sedikit pergeseran tetapi saya gembira kerana mereka kembali bersama untuk negara.

“Bagaimanapun, perlu dikaji juga emosi mereka sama ada baik ataupun tidak selain mengambil tahu sama ada mereka kembali bersama kerana ikhlas atau terpaksa,” katanya. - UTUSAN ONLINE