Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu gagal menampilkan aksi terbaik mereka dan terpaksa akur selepas tersingkir di separuh akhir kepada pilihan keenam dari Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko apabila 17-21, 21-18, 19-21.

V Shem memberitahu, gandingan Jepun itu menampilkan corak permainan yang lebih pantas selain mereka banyak melakukan kesilapan mudah sehingga membuka laluan kepada lawan untuk mara ke aksi final.

Katanya, pasangannya, Wee Kiong juga mengalami masalah fizikal membuatkan mereka tidak dapat mengeluarkan segala strategi permainan yang dirancang.

“Sebenarnya permainan kami kurang baik semalam kerana tidak menampilkan aksi dengan tempo tinggi, berbeza dengan pasangan lawan selain lutut Wee Kiong sedikit bengkak dan ia menjejaskan persembahan kami.

“Bagaimanapun, saya boleh katakan kami berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan di Jerman. Sekarang kami akan mengalihkan fokus terhadap saingan All England pula,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Mengulas mengenai saingan All England yang akan membuka tirai Rabu ini, pemain berusia 29 tahun itu tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi memandangkan bakal berdepan beregu No.5 dunia dari Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura seawal pusingan pertama.

Bagaimanapun, V Shem bertekad untuk memberikan segala-galanya pada kejohanan badminton tertua di dunia itu selain mahu fokus terhadap satu demi satu perlawanan.

“Kami perlu melakukan persediaan terbaik menjelang All England kerana ia merupakan kejohanan yang sangat penting.

“Kami tidak letakkan sebarang sasaran khusus dan mahu fokus terhadap satu demi satu perlawanan dan saya percaya kecederaan Wee Kiong akan pulih selepas beberapa hari berehat,” katanya.