Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, buat masa sekarang perkara itu tidak boleh dijawab kerana BAM mahu memberikan masa untuk Chong Wei kembali menjalani latihan sebelum kembali beraksi secara kompetitif.

Katanya, badan induk badminton negara itu tidak boleh terus meletakkan sasaran besar seperti itu kerana pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu sudah lama tidak beraksi secara kompetitif dan mereka mahu memberikannya masa mendapatkan semula rentak permainannya seperti sebelum ini.

“Berikan Chong Wei masa untuk jalani latihan, berikan dia masa untuk lihat sama ada dia mampu kembali bersaing atau tidak dan dapatkan nasihat doktor.

“Seandainya sudah boleh bersaing semula, baru kita cakap mengenai kelayakan Sukan Olimpik dan mungkin Mei tahun hadapan kita boleh jawab sama ada Chong Wei boleh dijadikan sandaran emas atau tidak,” katanya selepas Mesyuarat C&T, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Aksi kelayakan Sukan Olimpik akan bermula Mei ini dan akan tamat pada penghujung April tahun hadapan.-UTUSAN ONLINE