Ketiadaan jaguh No.1 negara, Datuk Lee Chong Wei yang sedang menjalani proses pemulihan atas masalah kesihatan menyaksikan Zii Jia menjadi satu-satunya pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang layak beraksi pada kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 itu, namun, gagal memenuhi impian peminat tanah air.

Zii jia tewas kepada pemain bukan pilihan dari Thailand, Suppanyu Avihingsanon, sekali gus, menutup kempen perseorangan lelaki negara selepas dua pemain profesional, Liew Daren dan Chong Wei Feng turut terkandas.

Dengan kelayakan Sukan Olimpik yang membuka tirai Mei ini, tindakan drastik perlu diambil bagi memastikan Zii Jia mampu berada di pentas sukan paling berprestij itu.

Pemain berusia 21 tahun itu memohon maaf kepada peminat kerana gagal meraih kemenangan, namun, berjanji akan menampilkan aksi lebih baik dalam kejohanan akan datang.

“Memang permainan saya tidak baik, hari ini dan harap boleh bangkit pada Terbuka Si­ngapura. Ini adalah pengajaran terbaik, menang dan kalah adalah sebahagian daripada proses untuk pemain dan saya percaya saya sedang menunjukkan peningkatan,” katanya selepas tamat permainan.

Dalam perkembangan lain, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mara ke pusingan kedua selepas menundukkan Nitchaon Jindapol 21-13, 21-12. Turut layak, beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mengalahkan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-19.