Elyas, 82, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 7.15 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN) dan perkara itu disahkan oleh ahli keluarga terdekat Allahyarham, Syahril A. Kadir.

“Lama dah Allahyarham sakit dan pelbagai penyakit yang beliau hidapi. Sebelum ini pun Allahyarham kerap keluar masuk ke IJN. Buat masa sekarang, jenazah masih berada di sana.

“Insya-Allah, jenazah akan dikebumikan pada esok pagi di Ampang Jaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Elyas merupakan tokoh sukan negara yang cukup disegani kerana beliau telah mengecapi pelbagai kejayaan ketika menjadi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 hingga 1993.

Antara kejayaan Allahyarham adalah membawa pasukan badminton negara menjuarai Piala Thomas pada 1992 selain menduduki tempat ketiga pada 1986 dan naib juara sebanyak dua kali pada 1988 dan 1990.

“Saya berasa terkejut dan sedih sebaik sahaja menerima berita mengenai pemergian Allahyarham. Terlalu banyak kenangan saya bersama arwah sepanjang berada di bawah pimpinan arwah ketika mewakili negara.

“Pelbagai pembaharuan yang telah arwah lakukan khususnya dalam sukan badminton negara dan kita boleh nampak dengan jelas kita berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Thomas dua kali berturut-turut sebelum memenanginya pada 1992.

“Allahyarham seorang yang mengambil berat terhadap kebajikan pemain dan melayan pemain seperti anak-anak arwah sendiri,” kata Rashid Sidek yang merupakan salah seorang pemain badminton negara ketika menjuarai Piala Thomas pada 1992.

Selain itu juga, Allahyarham turut mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak apabila membantu Kuala Lumpur muncul juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut bermula 1987 ketika menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bermula 1984.

Allahyarham turut dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan Malaysia oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 5 Januari 2005 dan Allahyarham juga merupakan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 1981 hingga 1992.