Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, jaguh beregu campuran negara itu akan ditemani seorang pegawai Institut Sukan Negara (ISN) dan berada di sana hingga 9 Jun.

“(Penghantaran) ini ialah satu misi saya sejak menjadi Presiden BAM, 29 April lalu iaitu memberikan lebih tumpuan kepada masalah atlet. Sejak dua minggu lalu juga saya tanya mereka dan dapatkan maklumat secara individu.

“Liu Ying perlu mendapat ra­watan penuh dan segera oleh pakar yang khusus dalam kecedera­an sukan. Di sana, mereka akan diberitahu apa diagnosisnya, jenis rawatan dan runding cara serta berapa cepat dia mampu pulih,” katanya.

Norza ditemui dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian lanjutan Datuk Lee Chong Wei dengan produk minuman tenaga 100Plus.

Menerusi perjanjian itu, pemain perseorangan No. 1 dunia itu akan terus menjadi duta produk itu selama dua tahun lagi.

Liu Ying bersama Chan Peng Soon yang merupakan gan­dingannya dalam acara beregu campuran, juga merupakan duta jenama minuman isotonik No. 1 Malaysia itu di samping tiga lagi jaguh badminton negara iaitu Goh V Shem, Tan Wee Kiong dan Goh Jin Wei.

Sementara itu Norza berkata, BAM akan mengiklankan minggu ini mengenai kekosongan jawatan pengurus besar persatuan ekoran peletakan jawatan Lawrence Chew pada 5 Mei lalu. Jawatan ketua Akademi Badminton Malaysia juga akan diiklankan.