Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya berpendapat bahawa sebarang isu atau tindakan sepatutnya hanya boleh dilakukan sepanjang pendengaran berlangsung yang melibatkan kedua-dua pemain terlibat dan bukannya di luar daripada sesi berkenaan.

“Kami mahu menegakkan hak kami kerana berpendapat peminat-peminat badminton Malaysia juga perlu tahu kenapa penyingkiran itu dibuat. Kami sedang tengok semua klausa undang-undang dalam mempersoalkan tindakan itu pada hari kedua sesi (dalam surat rasmi kepada BWF).

“(Penyingkiran) hanya dibuat (BWF) yang berkomunikasi dengan Jadadish pada sebelah malam (selepas sesi hari pertama),” kata Norza selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan BAM oleh 100Plus yang bernilai RM1.75 juta bagi tempoh dua tahun di sini hari ini.

Kedua-dua pemain itu menghadapi enam pertuduhan mengatur keputusan perlawanan daripada enam kejohanan antara 2013 hingga 2016 yang mampu membawa hukuman penggantungan seumur hidup oleh BWF jika didapati bersalah.

Norza juga menyifatkan Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund semalam hanya memberikan kenyataan secara umum kepada media berhubung keputusan sesi pendengaran itu walaupun menyebut keputusannya tidak patut melebihi sebulan selepas pendengaran.

Ditanya bilakah BAM akan mengemukakannya kepada BWF, jawab Norza: “Secepat mungkin kerana yang pastinya kami juga mahu selesaikannya segera.”

Sementara itu penajaan baharu ini membolehkan 100Plus dinamakan Minuman Rasmi semua kejohanan BAM termasuk Terbuka Malaysia dan Master Malaysia selain sebagai penaja sirkit remaja kebangsaan dan kejohanan remaja antara negeri (bawah 12, 14 dan 16 tahun).

“Pecahan nilai penajaan berjumlah RM1.75 juta ini ialah RM500,000 dalam bentuk wang tunai dan RM250,000 bagi barangan untuk 2018 manakala RM600,000 wang tunai, RM300,000 barangan dan RM100,000 nilai media bagi 2019,” katanya.

“Nilai ini merupakan lonjakan besar berbanding tahun-tahun sebelumnya yang hanya sekitar RM500,000, malah menunjukkan keyakinan 100Plus untuk terus bekerjasama dengan BAM dalam melaksanakan program pembangunan badminton negara,” katanya.