Dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang menjadi pentas kelayakan Piala Thomas, skuad negara be­rjaya meraih tiket ke Bangkok secara merit selepas mara ke separuh ­akhir, manakala skuad wanita layak ke Piala Uber berdasarkan ranking selepas ter­singkir di suku akhir.

Pemain bebas, Liew Daren disebut-sebut sebagai calon untuk menguatkan cabaran Malaysia dalam kejohanan 20-27 Mei itu kerana prestasi baik yang ditunjukkan akhir-akhir ini.

“Kami akan adakan mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan), Selasa ini bagi mencari pendekatan terbaik.

“Mungkin akan ada perubahan dalam perseorangan dan beregu, mungkin ada kejutan,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Saingan perseorangan lelaki negara di diketuai Datuk Lee Chong Wei bersama Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta Soong Joo Vern, manakala beregu dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Selain Chong Wei, Zii Jia, yang memenangi empat daripada lima perlawanan di Alor Setar hampir pasti mengesahkan kedudukan.