Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menjadi pemain terakhir yang ditunjukkan jalan keluar dalam kejohanan bernilai AS$1 juta (RM4.14 juta) itu apabila tewas 14-21, 21-17, 19-21 kepada pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama dalam saingan beregu lelaki.

Terdahulu, beregu muda negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tumpas kepada pilihan kedua dari China, Li Junhui-Liu Yuchen 15-21, 21-17, 17-21 dalam pertarungan sengit yang berlarutan hampir sejam.

Cabaran beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula berakhir di tangan pilihan keempat dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet selepas memberi tentangan sengit 21-19, 16-21, 22-24 dalam pertarungan satu jam, dua minit.

Badminton yang gagal membawa pulang sebarang pingat dalam Sukan Asia di Indonesia baru-baru ini nyata belum mampu memulihkan keyakinan peminat sukan itu.

Malaysia tidak menghantar sebarang wakil dalam perseorangan lelaki manakala cabaran dua perseorangan wanita, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei berakhir seawal pusingan pembukaan.

Dua beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga kandas di pusingan pertama sementara naib juara beregu campuran Sukan Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pasangan harapan negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai gagal melepasi halangan awal. - UTUSAN ONLINE