Setiausaha BAM, Ng Chin Chai berkata, dalam usaha membariskan pemain terbaik, pihaknya telah menyerahkan 26 nama untuk dipertimbangkan Jawatankuasa Pemilihan Sukan Komanwel yang dikendalikan Maj­lis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Bagaimanapun jawatankuasa pemilihan hanya memberi kuota lima pemain lelaki dan lima wanita untuk disenaraikan ke temasya itu.

“Sudah pasti nama-nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem dan beregu campuran utama akan menjadi pilihan kami kerana sasaran kita adalah membawa pulang tiga emas daripada enam yang ditawarkan dalam badminton,” katanya selepas bertemu jawatankuasa pemilihan di Wisma MOM di sini, hari ini.

Enam acara yang dipertan­dingkan di Gold Coast adalah berpasukan campuran, selain lima acara individu iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita dan beregu campuran.

Katanya, jawatankuasa pemilihan meletakkan harapan tinggi kepada badminton untuk menjadi lubuk emas kontinjen negara terutama dengan kehadiran Chong Wei.

“Kami menjangkakan saingan kuat daripada India, England, Kanada dan Singapura. India sudah tentu kuat dalam acara perseorangan lelaki dan wanita. Oleh itu pemain wanita kita perlu be­kerja lebih keras.

“Dalam acara berpasukan campuran yang menggunakan konsep Piala Sudirman kekuatan pasukan-pasukan utama boleh dikatakan seimbang dan semua pasti mahukan emas,” jelasnya lagi.