Peribahasa itu menggambarkan keseluruhan ulasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkenaan gentlemen’s agreement yang telah dipersetujui berhubung individu yang bakal mengisi kerusi No.1 dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Khairy menegaskan individu yang terlibat dalam perjanjian itu perlu jujur dan menghormati apa yang telah dipersetujui, walaupun ia bukan perjanjian rasmi atau bertulis.

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, yang berehat daripada jawatannya sejak Oktober 2015, membuat perjanjian gentlemen’s agreement dengan dua pemimpin tertinggi persatuan tersebut.

Menurut perjanjian itu, Timbalan Presiden Tan Sri Al Amin Abd. Majid akan memangku jawatan tersebut hingga tamat Sukan Olimpik Rio 2016 atau berakhir­nya penggal jawatankuasa sedia ada.

Selepas itu, beliau perlu memberi laluan kepada seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagi mengisi jawatan presiden.

Bagaimanapun, Al Amin yang turut berminat menduduki kerusi nombor satu badan induk itu, menafikan beliau terlibat dengan gentlemen’s agreement berkenaan.

Khairy menegaskan, pihak ber­kenaan sepatutnya bersikap jujur serta menghormati perkara yang sebelumnya telah dipersetujui.

“Perjanjian itu bukanlah perjanjian rasmi, bukan bertulis. Tetapi perjanjian yang dibuat secara lisan antara beberapa individu.

“Saya rasa mereka yang terlibat dalam perjanjian tersebut mestilah menghormatinya,” kata Khairy kepada pemberita di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman syarikat pembungkusan plastik SCGM Berhad diberikan status Penaja Perak untuk Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) iaitu Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan.

Kewujudan perjanjian itu juga disedari oleh Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor namun beliau sebelum ini berkata tidak memihak kepada mana-mana individu dan menye­rahkan sepenuhnya isu pemilihan kepada ahli gabungan BAM.

Namun isteri Perdana Menteri mengingatkan mereka yang terlibat bahawa siapa pun yang dipilih hendaklah mele­takkan kepen­tingan pemain serta badminton mengatasi segala-galanya.

Mengulas lanjut, Khairy bagaimanapun mengakui gentlemen’s agreement itu tidak boleh digunakan untuk memaksa mana-mana individu mematuhinya kerana ia sekadar perjanjian lisan.

“Ini perjanjian yang tidak bertulis, kalau perjanjian tak bertulis... (melibatkan) antara mereka yang membuat perjanjian itu sahaja. Jadi, kalau kita rasa nak menghormati perjanjian tersebut, maka lebih baik kita mematuhi perjanjian itu.

“Moral dalam cerita ini, kalau nak buat perjanjian, buat perjanjian bertulis,” katanya.

Sementara itu, percubaan Utusan menghubungi Al Amin untuk mendapatkan ulasan mengenai isu itu gagal.