Pelumba berusia 30 tahun itu berkata, adalah normal dalam kehidupan seseorang tersebut akan ada yang dengki, namun perkara tersebut perlu diambil dan dita­ngani secara bijak.

“Bagi saya perkara sebegini adalah cabaran dan dugaan. Haters ada di mana-mana, walaupun kita buat baik orang masih tidak suka, dengki...itu normal dalam kehidupan.

“Bagi saya perkara yang berlaku ini adalah ujian untuk kita lebih gigih dan gagah menempuh perjalanan hidup. Individu yang menyebarkan fitnah itu tidak patut. Saya percaya itu bukan Chong Wei.

“Saya harap tidak timbul lagi. Saya juga menyeru masyarakat di luar sana jangan cuba menjatuhkan imej seseorang. Kita hampir menjangkau tahun 2020, saya harap pemikiran kita juga moden seiring dengannya,” kata Azizul.

Chong Wei, 36, semalam berkata, dia sering menjadi mangsa fitnah oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menjejaskan maruah dan kariernya, termasuk yang terbaharu penularan video seks yang didakwa merakamkan dia dengan sorang wanita menerusi laman sosial.

Azizul ditemui dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini berhubung penghasilan filem biografi tentang dirinya yang dijangka ditayangkan pada pertengahan 2019.

Filem arahan Raja Mukhriz Raja Kamarudin itu akan memaparkan suka duka perjalanan The Pocket Rocketman hingga namanya menjadi sebutan di arena antarabangsa dengan kos sekitar RM6 juta.

Ditanya mengenai isu dua pemain badminton profesional negara yang kini disiasat oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes mengatur perlawanan Azizul berkata atlet, terutamanya generasi muda, tidak seharusnya bersikap materialistik.

“Dalam filem nanti, saya akan cuba ceritakan tentang kesusahan saya sebanyak mungkin agar mereka jelas bukan senang untuk senang, dan tidak susah untuk jadi susah.

“Mungkin sesetengah generasi baharu khususnya dalam sukan, ada segelintir daripada mereka agak manja sedikit. Jadi saya harap mereka tahu erti pengorbanan.

“Bagi saya, kita buat untuk negara, yang lain-lain (rezeki) akan datang sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai persediaannya untuk Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional yang bermula Jumaat ini, Azizulhasni berkata dia mahu menjadikan pentas tersebut sebagai medan ‘pemanas badan’ menjelang Kejohanan Dunia di Belanda pada hujung bulan ini dalam usaha mempertahankan gelarannya.