NORZA ZAKARIA
NORZA ZAKARIA

Kedua-dua pemain itu, katanya, bagaimanapun bukan di bawah naungan BAM tetapi beliau menolak untuk menamakan pemain itu kerana menghormati BWF yang sedang menjalankan siasatan.

Mohamad Norza berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan secara terperinci berhubung isu tersebut sebaliknya hanya dapat mengesahkan dua individu berkenaan bukan pemain BAM.

“Kami tidak bertoleransi dengan mereka yang terlibat dengan gejala tidak sihat seperti atur perlawanan, perjudian dan sebagainya. Perkara ini juga sering diingatkan kepada semua pemain BAM sendiri.

“Saya tidak boleh dedahkan nama pemain tersebut kerana semuanya masih di peringkat (siasatan) BWF. Kami juga tidak diberitahu secara terperinci maklumat berhubung kes berkenaan.

“Saya tahu ketika ini ada berita yang tersebar berhubung pemain terlibat namun itu semua bukan sumber daripada kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan di Akademi Badminton Malaysia, di sini hari ini.

Difahamkan BWF akan mengadakan sesi sebutan kes di Singapura hujung bulan ini untuk membolehkan pemain terbabit membela diri terhadap dakwaan mengatur perlawanan selepas badan induk dunia itu mengesyaki pemain berkenaan berdasarkan gaya hidup mewah dipamerkannya kebelakangan ini.

Dalam pada itu Pengurus Besar BAM, Michelle Chan yang diminta mengulas lanjut berhubung isu berkenaan berkata, dua pemain tersebut kini tidak dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan sepanjang siasatan kes berlangsung.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya telah sedia maklum berhubung perkara berkenaan apabila BWF memulakan siasatan.

“Kami telah mengetahui berhubung siasatan dijalankan oleh BWF itu sejak hujung tahun lalu.

“Buat masa ini siasatan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh BWF dan saya percaya sekiranya semuanya telah selesai maka nama atlet terlibat bakal didedahkan kepada umum,” katanya.

Sejak berita itu diketahui, pengguna media sosial mula menularkan bahawa salah seorang daripada pemain itu adalah bekas juara Remaja Asia, Zulfadli Zulkiffli.

Seorang lagi dikatakan adalah bekas pemain di bawah naungan BAM tetapi telah lama meninggalkan badan badminton kebangsaan itu.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Zulfadli mengenai namanya dikaitkan dengan kes itu seperti yang ditularkan pengguna media sosial gagal apabila panggilan telefon tidak berjawab. Mesej menggunakan WhatsApp juga tidak dibalas.