AZAM BAKI

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, bagaimanapun maklumat mengenai perkara tersebut baru diterima dan masih di peringkat awal siasatan SPRM.

“Kami difahamkan BWF sedang menjalankan siasatan di peringkat dalaman terhadap pemain badminton tersebut. Setakat ini, kami hanya boleh dedahkan atlet berkenaan merupakan pemain profesional dan bukan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“SPRM akan melakukan siasatan dalam kes ini kerana sudah tentu melibatkan rasuah kerana ia berkaitan dengan aktiviti mengatur perlawanan. Walau bagaima­napun, kita akan lihat dulu hasil siasatan awal BWF berkaitan kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Gerakan Me­merangi Pemberi Rasuah (Gempur) di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan, seorang pemain badminton profesional berusia lingkungan 20-an sedang disiasat oleh BWF kerana disyaki terlibat dengan skandal mengatur perlawanan dan telah digantung bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai oleh BWF.

Difahamkan, BWF mula menghidu kegiatan pemain badminton tersebut berdasarkan gaya hidupnya yang dikatakan mewah.