Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama dan telah selesai menjalani rawatan lebih dua bulan di Taiwan sebelum dibenarkan pulang oleh doktor yang merawatnya, namun buat masa sekarang dia berharap untuk mendapatkan rehat sebelum berdepan dengan awam.

Ketibaannya, dijangka menaiki jet peribadi, dinantikan oleh wakil media sejak pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang namun mereka pulang tanpa dapat bersemuka dengannya selepas mendapat permintaan daripada bekas pemain No.1 dunia itu.

“Beritahu semua orang (media) supaya balik, tidak perlu tunggu saya. Saya tidak mahu semua media tunggu saya di lapangan terbang.

“Saya perlukan rehat ketika ini. Beberapa hari lagi saya akan panggil semua media untuk menjelaskan keadaan saya. Terima kasih,” katanya menerusi satu pesanan suara yang dipetik daripada Bernama.

Chong Wei menyampaikan permintaannya itu selepas mengetahui wakil beberapa media sedang menunggu kepulangannya.

Masalah kesihatan pemain berusia 36 tahun itu mula menjadi tumpuan selepas pemain berkenaan menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018 bulan lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysa (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap agar semua pihak menghormati privasi pemenang tiga pingat perak Olimpik itu.

“Bagi pihak BAM kami merayu agar semua pihak memberi privasi untuk beliau berehat di rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.