LEE CHONG WEI melepasi saingan separuh akhir semalam dan menjadi harapan negara untuk meraih emas ac
LEE CHONG WEI melepasi saingan separuh akhir semalam dan menjadi harapan negara untuk meraih emas ac

Walaupun diberi tentangan hebat ketika melepasi separuh akhir dan bakal berdepan tugas berat dalam final, pemenang empat emas Komanwel itu akan menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada untuk mencatat penamat impian.

Hari ini, Chong Wei, 36, diheret ke set penentuan ketika mengetepikan wakil India, H.S Prannoy 16-21, 21-9, 21-14 dan esok, dia akan berdepan seorang lagi bintang India yang baru dinobat sebagai pemain No. 1 dunia, K. Srikanth.

Srikanth, 25, yang menumpaskan Rajiv Ouseph dari England 21-10, 21-17 baru sahaja mengalahkan Chong Wei dalam final berpasukan campuran, Isnin lalu.

“Ini Sukan Komanwel terakhir saya...apa pun yang berlaku, saya akan keluar berhabis-habisan untuk cuba mendapatkan emas.

“Srikanth adalah pemain No. 1 dunia ketika ini. Dia berada pada tahap keyakinan tertinggi dan masih muda tetapi saya akan beri tentangan terbaik kepadanya. Itu cara saya mahu menutup karier dalam temasya ini,” kata Chong Wei, yang merangkul emas perseorangan dan berpasukan di Melbourne 2006 serta New Delhi 2010.

Mengenai aksinya hari ini, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mengakui, ia sangat sukar kerana dia bergelut dengan kepantasan permainan yang ditampilkan Prannoy terutama di set pertama namun berjaya kembali dalam dua set berikutnya selepas menampilkan permainan lebih pantas.

“Dalam perlawanan ini, memang saya terpaksa itu cara permainan dia dengan menaikkan kelajuan permainan untuk mengatasi dia.

“Semasa aksi tadi, saya ada terfikir kalau kalah saya kena rehat sekejap untuk main penentuan gangsa, memang saya tidak mahu dan sebab itu saya beraksi bersungguh-sungguh untuk menang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu, Vivian Hoo berpeluang mempertahankan pingat emas beregu wanita yang dimenangi empat tahun lalu apabila melangkah ke final bersama gandingan baharu, Chow Mei Kuan.

Vivian, yang berganding bersama Woon Khe Wei di Glasgow 2014 beraksi baik bersama Mei Kuan untuk mengetepikan N. Sikki Reddy-Ashwini Ponnappa dari India 17-21, 21-15, 21-4, sekali gus bakal bertemu Lauren Smith-Sarah Walker dari England.