Baginda menerima insentif berkenaan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berdasarkan kejayaan merangkul pingat emas dalam acara lumba kuda lasak, endurance individu dalam temasya tempoh hari.

Sultan Mizan menerima insentif Skim Wakil Negara (Swara) dan insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake).

Swara membolehkan setiap atlet yang mewakili negara menerima RM500 bagi setiap kejohanan yang diwakili manakala Shake pula bagi setiap emas yang dimenangi melayakkan atlet mendapat sumbangan berdasarkan pingat iaitu RM5,000 (emas), RM3,000 (perak), RM2,000 (gangsa) untuk kategori individu.

Bagi berpasukan pula, pemenang pingat emas mendapat RM2,500 diikuti RM2,000 (perak) dan RM1,500 (gangsa).

Daripada 74 atlet Terengganu yang menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 32 orang berjaya menyumbang pingat emas dan masing-masing 15 atlet meraih perak dan gangsa.

Dalam majlis itu, 20 lagi atlet Terengganu yang mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur September lalu turut diraikan, dan mereka berjaya menyumbang tujuh emas, 12 perak dan 11 pingat gangsa.

Sumbangan pingat terbanyak dalam Sukan SEA lalu adalah daripada sukan berbasikal iaitu 10 emas, tiga perak dan dua gangsa manakala tiga emas, dua perak dan dua gangsa bagi Para ASEAN, juga dalam sukan berbasikal.

Ratu lumba basikal negara, Fatehah Mustapa menerima insentif terbanyak iaitu RM18,000 berdasarkan pencapaian empat pingat emas dalam temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur Ogos lalu.

Kejayaan Fatehah turut dikongsi atlet berbasikal Terengganu yang mewakili negara dalam Para ASEAN 2017, Zuhairie Ahmad Tarmizi yang menerima insentif RM18,000 berdasarkan tiga pingat emas dan satu perak. - UTUSAN ONLINE