Program Beli & Jimat, yang dilancarkan menerusi Aplikasi NGO Negaraku sebagai alternatif membantu pelajar khususnya di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mendapatkan produk dan barangan dengan harga jimat.

Pengasas Kelab Sahabat Persaudaraan (KSP), Dr. Mohd. Zamri Noordin berkata aplikasi ini merupakan sebuah program yang dikenali Beli dan Jimat yang merupakan inisiatif terbaharu yang diperkenalkan untuk membantu pelajar khususnya IPTA dan IPTS.

“Program ini dapat membantu pelajar dalam membeli produk dan barangan dengan harga lebih jimat.

“Kita masih dalam usaha mengumpulkan penyertaan daripada syarikat-syarikat pembekal termasuk GLC (Syarikat milik kerajaan) untuk bersama-sama menjayakan program ini.

“Kaedah ini memberi manfaat untuk pelajar berjimat dan lebihan hasil yang diperolehi akan dikembalikan kepada pelajar menerusi sumbangan CSR kepada pelajar yang tidak berkemampuan,” katanya ketika majlis pelancaran aplikasi itu di sini baru-baru ini.

Sebanyak 30,000 kad ahli NGO Negaraku akan diedarkan ke IPTA dan IPTS terpilih pada Mei nanti.

Bagaimanapun, aplikasi ini menggunakan pendekatan tertutup iaitu hanya khusus untuk Ahli-ahli NGO yang berdaftar di bawah Aplikasi NGO Negaraku.

Aplikasi NGO Negaraku dapat membantu dan memastikan NGO dan ahli-ahlinya bergerak selari dan seiring dengan teknologi terkini.

Dalam masa sama, Dr. Mohd. Zamri berharap lebih banyak pihak swasta, badan korporat dan GLC dapat bekerjasama negara NGO Negaraku dalam menjayakan program ini. - UTUSAN ONLINE