Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2018

Setiausaha SAM, Ahmed Faisal Jamal berkata faktor kredibiliti kepimpinan, kejayaan yang diraih serta kegigihan mempertingkat mutu sukan pelayaran melayakkan MYA untuk merangkul anugerah tersebut.

"Anugerah tersebut layak diberikan kepada MYA pada tahun ini bersesuaian dengan pencapaian atlet mereka serta pengurusan persatuan dan atlet yang baik.

"Di samping itu, atlet-atlet pelayaran juga tidak pernah menghampakan kem sukan negara dengan pencapaian yang membanggakan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tahun 2018 merupakan tahun gemilang buat skuad pelayaran negara apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, satu perak dan tiga pingat gangsa pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah menyumbang pingat emas kepada kontinjen Malaysia dengan mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 manakala pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy membawa pulang pingat perak dalam acara Laser Standard.

Gangsa disumbang masing-masing oleh Nur Shazrin Mohamad Latif menerusi acara Laser Radial manakala gandingan Nurasiyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed menerusi acara 470 wanita serta gandingan Ilham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman menerusi acara campuran RS One.

Selain kejayaan atlet dalam kejohanan di rantau Asia mahupun peringkat antarabangsa, kredibiliti MYA juga turut terserlah melalui penganjuran klinik kejurulatihan dan program pencarian bakat.

Baru-baru ini, MYA merupakan salah satu daripada enam persatuan sukan yang mendapat penarafan lima bintang menerusi Penilaian Penarafan Bintang 2018 yang dilakukan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Penarafan dwitahunan tersebut bertujuan mengukur pencapaian persatuan sukan kebangsaan dalam aspek tadbir urus selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 di samping menjadi rujukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam aspek pembangunan sukan.

Dalam pada itu, Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2018 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk berangkat hadir pada majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis sempena ulang tahun ke-50 SAM yang ditubuhkan pada 21 Februari 1969 ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Anugerah SAM-100PLUS 2018 turut memberi pengiktirafan kepada wakil-wakil media tempatan selain pengiktirafan kepada atlet dan persatuan sukan.

Enam kategori bakal dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pengiktirafan tertinggi diberikan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM 7,000 bakal dibawa pulang oleh pemenang kategori tersebut.- BERNAMA