AYUB RAHMAT
AYUB RAHMAT

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyebut, atlet yang tidak diumumkan namanya itu, akan menjalani perbicaraan dalaman di bawah tindakan tatatertib badan induk itu tidak lama lagi.

Saringan ujian pra-Sukma itu dijalankan PABM dengan kerjasama Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan dari 25 Julai hingga 29 Ogos lalu.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata dalam siaran media itu bahawa sebanyak 165 atlet angkat berat daripada 14 pasukan negeri telah menjalani ujian berkenaan.

“Hanya atlet yang lulus ujian saringan antidoping ini dibenarkan menyertai Sukma selaras dengan keputusan mesyuarat PABM di ibu kota 30 Mei lalu.

“Semoga semua atlet yang mengambil bahagian dalam temasya terbesar di negara ini kali ini dapat menunjukkaan aksi terbaik dan bersaing untuk mendapatkan pingat serta pengalaman,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini mengenai amaran Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail supaya kontinjen-kontinjen negeri memastikan mereka berpegang kepada semangat kesukanan dan persaingan yang adil serta bebas daripada dibelenggu isu doping.

Angkat berat diberikan peluang kedua, bersama-sama taekwondo dan sepak takraw, untuk kembali dipertandingkan dalam Sukma pada Februari lalu walaupun pernah digugurkan daripada Program Sukan Teras pada Disember lalu, terutama atas sebab prestasi dan isu doping.

PABM turut menggantung penyertaan semua atlet negara daripada sebarang pertandingan antarabangsa selama setahun mulai Mei lalu yang menyebabkan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam acara angkat berat Sukan Asia Jakarta-Palembang yang berakhir baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat selepas tiga atlet angkat berat iaitu Hakimie Haikal Nordin, Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesos disahkan positif doping pada Mei lalu, begitu juga dengan pemenang pingat gangsa bawah 85 kilogram Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Fazrul Azrie Mohdad.