Perenang berusia 15 tahun itu mencatat masa 32.83 saat dalam 50m kuak dada wanita, 0.02s di hadapan perenang Hong Kong yang memperoleh perak dalam acara itu.

Perenang dari Johor itu sebelum ini telah menyapu bersih acara kuak dada dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, dan memenangi acara 100m dan 200m kuak dada pada hari pertama dan kedua kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, perjalanannya tidak berakhir di sini. Atlet muda ini akan mengambil langkah seterusnya dalam Kejohanan Renang Kebangsaan Singapura Ke-15, Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara dan Piala Dunia Renang FINA di Singapura tahun ini.

“Menyertai Sukan SEA adalah matlamat utama saya tahun ini, ia boleh menjadi sebagai pencapaian terbesar saya,” kata Alicia.

Bercakap mengenai impian hidupnya, perenang yang sedang meningkat itu berkata, impiannya tidak lain adalah menyertai Sukan Olimpik seperti idolanya Katie Ledecky dari Amerika Syarikat yang memenangi lima emas Olimpik dan 14 gelaran kejohanan dunia.

Alicia mendapat inspirasi daripada kata-kata Ledecky bahawa ‘Anda boleh gagal dalam latihan tetapi anda boleh beraksi dengan baik dalam pertandingan’ yang menjadikan dia insan lebih baik.

“Ia memberitahu saya adalah tidak mengapa jika gagal dalam latihan, buat terbaik dalam apa sahaja yang diceburi. Tetapi bila masanya tiba, anda tinggalkan semuanya di dalam kolam,” katanya kepada Bernama sambil menambah keluarga menjadi penyokong utama semasa berdepan ‘gelombang pergelutan mental’ di kolam renang.

Alicia mengakui bergelut dengan keterbatasan yang dihadapinya selama beberapa tahun, iaitu beraksi perlahan ketika di hujung kolam, satu lagi selepas menerjah dinding kolam dan akhirnya tewas biarpun mendahului pada awalnya.

“Saya juga agak lemah untuk mengekalkan kelajuan di penghujung perlumbaan, beberapa lap awal selalunya lebih baik. Sebagai contoh, dalam acara 200m, saya pantas dalam 100m pertama tetapi dalam 100m kedua adalah di bawah purata kebiasaan,” katanya merendah diri.

Bagaimanapun, dia telah giat berlatih khususnya untuk jarak jauh seperti 400m rampaian individu untuk mencapai kejayaan kerana ini akan meningkatkan keupayaan dirinya sebagai seorang perenang.

“Jika saya berlatih untuk acara yang lebih lama dan lebih sukar, acara yang singkat menjadi mudah. Itu strategi saya ketika saya balik untuk berlatih,” katanya.

Ia adalah motivasi utama kepada saya. Sejak itu, saya terus meningkat dan kekal mengamalkannya,” kata Alicia yang mula menyertai pertandingan renang di usia sembilan tahun dan mendapat latihan pertamanya di sebuah kelab tempatan Singapura sebelum menyertai Swimfast Aquatic Club pada 2013.

Alicia, yang tidak pernah berhenti untuk meningkatkan dirinya, menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas dalam Sukma Johor 2020 dalam acara kegemarannya -- 50m, 100m, 200m kuak dada, 200m rampaian individu, juga 200m gaya bebas.

“Saya menanti Sukma Johor, ia bakal menjadi suasana yang hidup dan menyenangkan apabila saya di berada di negeri sendiri. Ia sesuatu yang saya akan usahakan dan memenangi lebih banyak pingat. Renang adalah sebahagian besar daripada kehidupan saya sejak berumur sembilan tahun, saya mahu memastikan ianya berbaloi buat saya dan keluarga dengan kegembiraan dan keperitan yang dialami.

Ia adalah perjalanan yang akan dikenang jadi saya mahukan ia menjadi sesuatu yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan hidup saya,” katanya. - BERNAMA