Perenang berusia 15 tahun itu mencatat kepantasan 32.83 saat untuk meraih emas acara 50 meter kuak dada, 0.02 saat meninggalkan pesaingnya Natalie Kan Kan dari Hong Kong. Angelina Chan dari Selangor menduduki tempat ketiga dengan masa 33.88s.

Perenang muda negara itu yang menyapu bersih pingat emas kuak dada pada Sukma Perak 2018 sebelum ini turut menjuarai perlumbaan kuak dada 100m dan 200m, masing-masing dengan catatan 1:12.69s dan 2:37.57s pada hari pertama serta kedua kejohanan.

“Keseluruhannya, ia adalah perlumbaan yang sangat baik dan keputusan akhir adalah lebih baik berbanding saringan,” kata perenang muda ini yang berada dalam prestasi terbaik hari ini.

Alicia yang kini menetap dan berlatih di Singapura berkata, dia tidak mempunyai rancangan besar selepas kejohanan itu tetapi akan meningkatkan lagi latihan bagi memberi saingan lebih baik.

Sementara itu, perenang kebangsaan, Welson Sim membawa pulang emas keempat acara 1,500m gaya bebas dengan catatan 16:08.90s.

Dia bermula dengan kuakan pantas, meninggalkan pemenang pingat perak Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan, di belakang dengan jurang 4.42s.

Bagaimanapun Welson semakin perlahan akibat sakit bahu yang kembali menyerangnya dalam 500m terakhir menuju garis penamat.

“Pagi ini saya berenang lebih baik. Saya tidak mengharapkan banyak dalam acara 50m ini kerana badan saya tidak upaya lagi selepas berenang 1,500m,” katanya. - BERNAMA