Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, dua daripadanya juga adalah pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara berpasukan iaitu di Belanda (Jun) dan Bangkok (Disember).

“Bagaimanapun, sasaran utama kami tahun ini ialah mengekalkan lima emas Sukan SEA Filipina seperti mana di Kuala Lumpur, dua tahun lalu,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dengan Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil hari ini.

NAAM katanya, telah menamakan enam pemanah lelaki dan enam wanita bagi acara recurve dan lapan lelaki tujuh wanita (compound) bagi program latihan fasa awal mulai bulan ini.

“Daripada jumlah ini dan dari semasa ke semasa, kami hanya akan pilih empat terbaik bagi setiap acara dan jantina itu,” katanya.

JKK MSN-NAAM juga menurutnya, meluluskan pelantikan Norizham Ishak dan Muhammad Marbawi Sulaiman sebagai jurulatih recurve lelaki dan wanita manakala skuad compound di bawah kendalian Zaki Mahadan dan Adnan Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Tracey Robinson yang membantu Malaysia merampas pi­ngat emas bola jaring Sukan SEA di Kuala Lumpur, tahun lalu, disahkan kembali menggalas tugas ketua jurulatih negara mulai Isnin ini.