Keberangkatan tiba baginda ke majlis makan malam amal yang menghimpunkan hampir 500 penyokong kelab bola sepak tersohor Liga Perdana Inggeris Manchester United yang datang dari seluruh pelusuk negara ini dan juga Thailand serta Singapura itu disambut oleh Presiden Red Army Malaysia, Datuk Rosthman Ibrahim.

Hadir sama ialah bekas pemain pertahanan kelab ‘The Red Devils’ dan England, Wes Brown.

Para hadirin dihiburkan oleh Lola (XPDC) dan Uchop. Seramai 10 yang hadir menerima cabutan bertuah istimewa untuk ke Stadium Old Trafford di Manchester untuk menonton satu perlawanan yang akan dimaklumkan kemudian.

Turut diadakan ialah lelongan jersi-jersi dan bola yang ditandatangani oleh pemain-pemain dan juga bekas pemain terkenal dari Manchester United termasuklah Eric Cantona dan Phil Jones.

Selain itu, turut hadir ialah bekas pemain penyerang ‘Harimau Malaya’ Datuk Hassan Sani dan Shahril Arsat serta aktor Keith Foo.

Terdahulu pada sebelah siangnya sehari suntuk dianjurkan satu pertandingan bolas sepak melibatkan penyertaan sebanyak 20 buah pasukan bersempena program yang sama.

Hasil daripada majlis tersebut akan diserahkan kepada pihak terbabit melalui kelab Manchester United pada salah satu perlawanan di ‘The Theatre of Dreams’ yang akan ditetapkan kemudian pada musim hadapan. - UTUSAN ONLINE