Semasa Wawasan 2020 diperkenal oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1991, Hafizal hanya berusia 15 tahun tetapi beliau memahami bahawa satu daripada cabaran yang dapat menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi dan negara mampu diri pada 2020 adalah dengan melahirkan komuniti saintifik.

Itulah yang memberi ilham kepadanya dalam usaha menjadi saintis serta sebahagian daripada komuniti saintifik yang boleh menyumbang kepada negara.

Hafizal, 42, yang merupakan pegawai penyelidik kanan di MIMOS Bhd. berkata, Wawasan 2020 mengajar beliau bahawa rakyat Malaysia harus mampu mencipta teknologi, bukan sekadar menjadi pengguna.

Malaysia tidak seharusnya bergantung kepada teknologi yang diimport.

"Persoalan itu telah lama terpahat di fikiran saya namun, dalam masa sama menjadi pendorong untuk saya berusaha melakukan sesuatu berkaitan perkara ini dan cuba menyumbang ke arah mewujudkan teknologi-teknologi baharu,” katanya.

Segala usaha dan dedikasi pakar dalam Internet of Things (IoT) bagi inovasi teknologi baharu nyata berbaloi apabila memenangi anugerah Saintis dan Pakar Teknologi Cemerlang ASEAN di Myanmar pada 2017.

Satu daripada projek terbaharu yang beliau usahakan dengan penuh minat adalah di Tasik Chini, Pahang melibatkan penyelesaian IoT digunakan untuk memantau keadaan persekitaran tasik berkenaan.

Hafizal menganggapnya sebagai projek yang unik kerana ia bukan hanya berdasarkan aspek kewangan malah aspek alam sekitar yang tidak ternilai.

Setelah dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009, tasik itu perlu dipelihara sebagai warisan penting Malaysia.

Ekosistem dan zon penampannya perlu dilindungi selain hanya amalan pembangunan manusia dan ekonomi yang mampan ekologi sahaja boleh dibenarkan di kawasan itu.

Pembangunan tidak dirancang, perlombongan haram dan banjir monsun adalah antara beberapa bahaya yang memberi kesan negatif terhadap ekosistem tasik dan masyarakat Orang Asli di situ.

MIMOS menjalinkan kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mencari penyelesaian berasaskan IoT untuk tasik itu.

Pusat penyelidikan itu, yang terletak berhampiran dengan tasik berkenaan, dipertanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan, melakukan kerja lapangan, memupuk kesedaran alam sekitar dan menyebarkan maklumat mengenai pengurusan tasik bersepadu.

Untuk memelihara ekosistem semula jadi tasik itu, tujuh stesen IoT dibangunkan di sekitar Tasik Chini. Stesen-stesen berkenaan digunakan untuk mengukur kualiti air, perubahan iklim dan paras air, dengan mengumpulkan data mengikut jadual tertentu setiap jam.

Oleh kerana stesen-stesen itu terletak di sekitar tasik termasuk yang terletak di kawasan agak terpencil, sukar bagi mereka yang terlibat dalam projek itu untuk menggunakan bot bagi mengumpulkan data secara manual dari semua stesen tersebut.

Bagi mengatasi masalah itu, Hafizal berkata, adalah penting untuk mempunyai sistem wayarles kerana data yang dikumpulkan itu boleh dihantar dari stesen ke makmal pemantauan PPTC.

Strategi perhebat STEM

BERHUBUNG pengalaman kerjanya, Dr. Hafizal Mohamed, yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan elektronik dan sudah bekerja selama 11 tahun di MIMOS, menganggap dirinya bertuah kerana sepanjang 21 tahun kerjayanya memperoleh banyak pendedahan dan pengalaman dalam penyelidikan asas.

Sebelum menyertai MIMOS, beliau bekerja di fakulti kejuruteraan di sebuah universiti swasta selama 10 tahun.

“Saya boleh memahami dan menghargai keseronokan serta cabaran penyelidikan selain kerja-kerja kejuruteraan pada peringkat yang berbeza, daripada menghasilkan idea-idea baharu kepada pembangunan teknologi dan pengkomersialan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai strategi STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), Dr. Hafizal berkata, adanya ruang bagi peningkatan lebih meluas kerana nisbah pelajar aliran sains dan teknikal berbanding pelajar seni masih pada tahap membimbangkan dan berada di bawah nisbah 60:40 yang disasarkan.

“Sekiranya kita hanya menghitung pelajar aliran sains tulen, jumlahnya adalah lebih rendah.

“Sejak 1981, peratusan pelajar Tingkatan 5 aliran sains adalah kira-kira 20 hingga 35 peratus. Bilangan calon SPM aliran sains tulen pula kira-kira 134,000 orang (31 peratus) daripada 455,000 yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajarn Malaysia (SPM) pada 2014,” katanya.

Nombor STEM adalah lebih rendah pada peringkat pengajian tinggi. Pada tahun lalu, hanya ada 96,978 (32 peratus) siswazah STEM daripada 306,808 penuntut yang lulus tahun itu.

“Itulah anggaran tahunan bekalan bakat STEM dari universiti-universiti tempatan di Malaysia,” katanya.

Semasa menyatakan adanya ramai pihak berkepentingan yang terlibat dalam memacu kejayaan agenda STEM negara, Hafizal berkata, mereka juga perlu melihat kepada sistem input, proses dan output.

“Input sepatutnya datang daripada pelajar. Kita perlu memupuk minat mereka. Dengan kebanyakan masyarakat bandar sedar tentang perlunya STEM, masih banyak usaha perlu dilakukan di kawasan luar bandar dengan kebanyakan pelajar bergantung sepenuhnya kepada sekolah untuk mengetahui tentang STEM.

“Selain itu, ibu bapa perlu diyakinkan bahawa STEM mempunyai masa depan yang cerah.

“Pelbagai proses dilakukan di peringkat sekolah dan universiti, seperti mana yang telah mereka lakukan. Banyak usaha dilakukan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan adanya kemudahan yang mencukupi, guru yang cekap, kurikulum yang menarik dan sebagainya.

“Akhir sekali, dapatan STEM akan dapat dilihat dalam industri masa depan dan dalam bentuk penciptaan pekerjaan,” katanya.

Hafizal berkata, STEM amat memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan dan industri bagi mewujudkan banyak peluang dengan memperkukuh inovasi dan kemahiran untuk negara. - BERNAMA