JOHN MULLIGAN
JOHN MULLIGAN

Menurut ketua juri MyDD 2017, John Mulligan, majoriti daripada 150 peserta yang menyertai pertandingan ini dilihat mempunyai lebih pengetahuan teknikal dan juga pengalaman berbanding penyertaan pada edisi-edisi sebelum ini.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh perkembangan teknologi semasa yang membolehkan pelbagai aplikasi baharu diwujudkan dan memaksa para peserta pertandingan rbc ini menjadi lebih kreatif untuk memastikan perisian yang dibina boleh menyaingi perisian yang berada di pasaran.

“Ada di antara para peserta ini yang berjumpa dengan saya untuk berbincang mengenai dua idea perisian yang mereka ada yang mana saya katakan kepada mereka kedua-duanya adalah bagus.

“Persoalan yang tinggal ialah yang mana antara kedua-dua idea berkenaan boleh mereka realisasikan dalam tempoh 24 jam seperti yang ditetapkan oleh pertandingan ini,” kata beliau ketika ditemui Utusan Online di tempat pertandingan tersebut diadakan.

Tambah beliau, pertandingan yang berlangsung selama 24 jam anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat komunikasi Amerika Syarikat, AT&T berkenaan turut boleh dijadikan panduan untuk para peserta digunakan sekiranya mereka mahu menceburi bidang keusahawanan teknologi.

Peserta pertandingan yang diadakan bermula semalam  turut diberikan laluan kepada perkakasan yang diperlukan bagi mereka membina aplikasi aplikasi yang berkaitan seperti platform pembangunan M2X IoT dan pustaka imej Inmagine AT&T.

Pemenang pertandingan yang diadakan di Bangunan SKMM di sini itu akan membawa pulang hadiah tunai AS$10,000 (RM43,000) dan biasiswa Nanodegree. - UTUSAN ONLINE