Beratus-ratus kilogram cendawan terpaksa dibuang begitu sahaja kerana telah rosak, sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada pengusaha.

Prihatin dengan itu, Agensi Nuklear Malaysia mengambil langkah proaktif membangunkan teknologi pengeringan udara panas untuk tujuan pengeringan cendawan secara komersial.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Azhar Mohammad, teknologi itu dibangunkan menggunakan gelombang udara panas yang dijadikan sebagai oven untuk mengeringkan cendawan.

Katanya, cendawan yang dikeringkan itu dijadikan produk hiliran yang akan dapat memberikan pendapatan yang lebih kepada para pengusaha.

“Teknologi ini dibangunkan dengan konsep yang mudah iaitu kita hanya menggunakan gelombang udara panas untuk dijadikan oven yang boleh mengeringkan 50 kilogram cendawan dalam masa 30 jam menggunakan tiga buah oven yang kita ada sekarang.

“Cendawan yang telah dikeringkan itu akan diproses untuk dijadikan produk hiliran seperti bebola cendawan, sos cili bercendawan serta serbuk perasa cendawan yang kemudiannya kita sinarkan ia dengan sinaran gamma untuk meningkatkan kualiti rasa dan tahan lama,” katanya.

Teknologi pengeringan udara panas ini dibangunkan bawah projek Hab Pemprosesan dan Pengembangan Cendawan (HPPC) di Kampung Tempinis, Besut, Terengganu yang menyasarkan seramai 25 pengusaha cendawan di kawasan berkenaan.

Selain itu, tambah Dr. Azhar, karakteristik cendawan segar yang hanya mampu bertahan kira-kira dua hingga tiga hari sahaja setelah dipetik memerlukan ia dikeringkan dan diproses untuk aktiviti pengkomersialan yang lebih efektif.

“Kita bangunkan hab pemprosesan dan pengembangan cendawan ini dengan kapasiti sederhana untuk membeli semua lebihan cendawan yang ada dengan harga RM9 bagi sekilogram.

“Selain dapat mengelakkan pembaziran cendawan, kita juga akan meningkatkan peningkatan pengusaha dan mereka tidak perlu risau lagi untuk memperluas penanaman cendawan mereka,” ujarnya.

Tambahnya, HPPC tersebut mampu memproses serbuk perasa cendawan sehingga 100 kilogram sehari dan dapat dijual dengan harga lumayan sekitar RM250 bagi sekilogram.

Oleh itu, menurutnya, serbuk perasa cendawan berkenaan akan diperluas lagi untuk digunakan dalam industri pastri bagi tujuan mempelbagai penghasilan produk-produk makanan baharu, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap cendawan.

Justeru, projek berkenaan akan dijadikan perintis dan sebagai model untuk dikembangkan ke negeri-negeri lain dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian.

Sementara itu, Presiden Persatuan Cendawan Daerah Besut, Tuan Mohd. Pauzi Tuan Deraman berkata, teknologi yang diperkenal ini memberikan sinar harapan baharu buat pengusaha-pengusaha cendawan di sekitar Besut, Terengganu.

Katanya, sebelum ini pengusaha tanaman hanya memfokuskan perniagaan kepada cendawan segar dan sering mengalami kerugian pada musim tengkujuh dan lambakan cendawan.

“Bila musim hujan, cendawan tumbuh banyak dua kali ganda dan menyebabkan terlalu banyak bekalan cendawan dan ditambah lagi dengan bekalan cendawan yang masuk dari Thailand.

“Bekalan dari Thailand yang lebih murah iaitu sekitar RM6 sekilogram berbanding RM10 sekilogram bagi cendawan tempatan menyebabkan petani tempatan terpaksa membuang beratus-ratus kilo cendawan begitu sahaja.

“Pernah satu musim tu kira-kira 300 kilogram cendawan dibuang sahaja kerana tidak terjual,” luahnya.

Oleh itu, katanya, hab yang dibangunkan dan dilengkapi dengan teknologi ini akan membantu mengatasi masalah lambakan cendawan, selain melatih pengusaha tanaman melebarkan sayap menjadi pengusaha makanan.

“Hab ini juga akan memberikan kursus kepada pengusaha tanaman untuk menghasilkan produk hiliran yang kita yakin akan mendapat sambutan seperti bebola cendawan kerana ia sebahagian daripada makanan harian yang digemari.

“Selain itu, ia juga akan menstabilkan semula harga cendawan di pasaran memandangkan lambakan cendawan yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak telah menjejaskan harga,” ujarnya.

Usaha perkukuh industri pertanian

SALAH seorang pengusaha cendawan di Kampung Tempinis, Kuala Besut, Terengganu, Rosli Abdullah, 52, meluahkan rasa syukur kerana masalah yang dihadapi sejak menceburi bidang penanaman cendawan sejak lebih tujuh tahun lalu bakal berakhir.

Katanya, projek Hab Pemprosesan dan Pengembangan Cendawan (HPPC) ini memberikan nilai tambah kepada dirinya dalam bidang perniagaan cendawan secara melebih meluas.

“Dulu saya terpaksa buang banyak cendawan yang tumbuh dua kali ganda ketika musim hujan. Tetapi kini tak perlu risau lagi kerana semua lebihan itu boleh dijual kepada HPPC.

“Diharapkan projek ini akan membantu lebih ramai lagi pengusaha cendawan di luar sana,” katanya.

Pegawai Pertanian Daerah Kuala Besut, Terengganu, Norhaslini Ab. Manan pula berkata, bantuan berterusan sentiasa diberikan kepada pengusaha-pengusaha cendawan untuk memperkukuh industri pertanian cendawan negara.

Katanya, bantuan yang diberikan kepada pengusaha cendawan dari tahun 2012 sehingga kini bernilai sebanyak RM268,000 yang melibatkan peruntukan kerajaan negeri dan juga Persekutuan.

“Bantuan yang diberikan adalah seperti bantuan untuk membina rumah cendawan, memberi mesin penggaul serbuk kayu untuk asas tanaman cendawan dan juga menyediakan mesin pengukus.

“Kita juga turut menyokong projek HPPC ini dengan menyumbangkan tanah dan bangunan untuk aktiviti pemprosesan, pengeringan serta kursus kepada para pengusaha,” jelasnya.