Memandu melebihi had laju dan berbahaya atau dalam keadaan mengantuk dan sebagainya bukan saja membawa padah kepada diri sendiri, malah orang lain yang tidak bersalah.

Oleh itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini pakar kejuruteraan automotif, syarikat pembuat kenderaan serta syarikat berteknologi tinggi mula memberikan perhatian dalam penghasilan inovasi kereta tanpa pemandu bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Dijangkakan pada tahun 2025, sebanyak 600,000 kenderaan tanpa pemandu akan berada di jalan raya seluruh dunia dan akan meningkat pada tahun 2035 kepada 21 juta.

Walaupun kenderaan inovasi berkenaan belum begitu banyak di pasaran, namun terdapat beberapa teknologi yang menjurus kepada kenderaan tanpa pemandu berada di pasaran dan membantu pemandu di jalan raya.

Antara teknologi autonomous (berautonomi) tersebut adalah seperti kawalan automatik kelajuan kenderaan, brek automatik untuk mengelakkan kemalangan, mengekalkan posisi kenderaan di laluan yang betul dan juga membantu mengelakkan pelanggaran sisi dengan sentiasa memantau dan memberi amaran kepada pemandu terutama di kawasan ‘titik buta.’

Itulah yang dijalankan oleh Pensyarah Kanan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Hairi Zamzuri dengan menjalankan kajian dan pembangunan kenderaan tanpa pemandu semenjak 10 tahun yang lalu.

Gabungan antara UTM dengan MooVita Ptd. Ltd., sebuah syarikat berpangkalan di Singapura itu menghasilkan kenderaan tanpa pemandu di negara ini.

Menggunakan model kereta sedia ada, Exora, kenderaan ini dilengkapi dengan kamera bagi pengecaman kenderaan lain dan pejalan kaki, imej tiga dimensi Light Detection and Ranging (Lidar) bagi pengecaman lokasi serta sistem penentu kedudukan global (GPS) bagi tujuan navigasi kenderaan.

Hairi yang juga Pengurus Besar MooVita berkata, idea untuk menghasilkan kereta tanpa pemandu ini sebenarnya tercetus selepas menyaksikan kereta inovasi ini telah pun digunakan di negara-negara Barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat yang membuatkannya yakin ia harus ada di pasaran Malaysia juga suatu hari nanti.

“Kita orang Malaysia ini selalu dimomokkan dengan mentaliti yang kita tidak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Oleh itu saya hendak buktikan bakat tempatan juga boleh menghasilkan inovasi berteknologi tinggi seperti ini.

“Matlamat utamanya sudah tentulah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya menerusi pemanduan automatik bersistem yang kita telah bangunkan ini,” katanya.

Tambahnya, kenderaan pintar tersebut turut dilengkapi dengan penderia radar bagi mengenal pasti objek yang terletak jauh di hadapan.

Selain itu, kenderaan berkenaan berupaya untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi tanpa sebarang bantuan daripada pemandu menggunakan perisian khas yang dicipta untuk mengawal stereng dan juga brek.

“Dengan bantuan penderia, pengawal dan kepintaran buatan (AI), ia berupaya untuk mengenal pasti halangan yang berada di hadapan dan seterusnya mengelakkan pelanggaran.

“Kita juga memasang kamera di sekeliling kereta untuk pengecaman keadaan sekeliling, selain penderia untuk mengesan kehadiran objek lain, berhenti ketika lampu isyarat merah dan jalan ketika lampu bertukar hijau,” katanya.

Jelasnya lagi, fungsi kenderaan inovasi yang masih dalam peringkat prototaip itu akan diperluas lagi dari semasa ke semasa dengan mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) atau peranti Internet yang berhubung sesama sendiri.

Katanya, penambahbaikan itu dapat menjadikan kereta berkenaan sebagai kenderaan awam pintar yang membolehkan ia tersambung kepada telefon pintar pengguna melalui aplikasi khas yang akan dibangunkan.

“Kita mahu memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menaiki kenderaan awam iaitu hanya dengan memanggil kereta berkenaan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

“Kita panggil ia sebagai end mile solution yang memberikan perkhidmatan kenderaan awam yang lengkap. Ia sama seperti Grab dan Uber, yang lain hanyalah ia tiada pemandu,” jelasnya.

Di samping itu, Hairi berkata, walau bagaimanapun pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan perlu memainkan peranan untuk merealisasikan impian tersebut.

“Ekosistem kita sekarang ini masih belum bersedia untuk membolehkan kenderaan tanpa pemandu berada di atas jalan raya, apatah lagi menjadi kenderaan awam.

“Pihak kerajaan seperti kementerian pengangkutan dan sebagainya harus melihat semula peraturan-peraturan jalan raya yang sedia ada supaya kenderaan tanpa pemandu ini boleh beroperasi seperti kenderaan lain,” katanya.

Menelan belanja hampir RM5 juta, kenderaan inovasi pintar itu dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua tahun lagi dan akan dipasarkan di seluruh negara.