Komputer menyimpan dan memproses data-data digital yang diperoleh berkaitan sosioekonomi dan alam sekitar yang dikenali sebagai sistem maklumat geografi (GIS) dan dipetakan lokasinya dengan tepat di permukaan bumi kini merupakan satu teknologi, yang dikenali sebagai geospatial.

Oleh kerana manfaatnya begitu meluas terutama dalam merancang, mengurus dan meramal hal berkaitan aset kejadian di permukaan bumi, Malaysia tidak ketinggalan menggunakan teknologi geospatial sebagai elemen penting dalam memacu pembangunan negara.

Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah mengambil inisiatif merangka Pembangunan Pelan Induk Geospatial Negara (NGMP) yang dilancarkan baru-baru ini dan bakal menjadi medium perubahan yang akan memacu lonjakan perubahan prestasi pembangunan geospatial.

Pelan induk tersebut merupakan satu dokumen pernyataan bertulis yang mengandungi cadangan-cadangan yang merangkumi pengurusan maklumat geospatial khususnya dalam mewujudkan Dasar Pengurusan Geospatial Negara, Rang Undang-Undang (RUU) Geospatial Negara, Struktur Tadbir Urus Geospatial Negara, Kerangka Perusahaan Arkitek Geospatial Negara dan Pelan Strategik Geospatial Negara untuk tempoh 10 tahun.

Dalam memastikan pengurusan geospatial yang lebih cekap dan berkesan, kerajaan menerusi kementerian berkenaan mengambil inisiatif tersebut menerusi Rancangan Malaysia Ke-11.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Azizan Ahmad berkata, Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI), merupakan satu program nasional bagi membangunkan infrastruktur perkongsian data geospatial antara agensi-agensi pembekal dan pengguna data geospatial.

“Menerusi infrastruktur ini, satu perkongsian maklumat dan kerjasama antara agensi diwujudkan bagi menggalakkan pembangunan produk-produk geospatial dengan lebih kos efektif, cekap dan cepat, ’’ ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) Ke-8 di Putrajaya baru-baru ini.

NGIS merupakan aktiviti dwitahunan yang telah diadakan sejak tahun 2004 dengan mengekalkan kesinambungan simposium selama lapan kali merentasi tempoh masa 14 tahun.

Penganjuran NGIS ini merupakan usaha yang berterusan Pusat Infrastruktur Data Geospatial Data Malaysia (MaCGDI) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dalam memartabatkan penggunaan maklumat dan teknologi geospatial dalam perancangan pembangunan negara.

Selaras dengan agenda kerajaan untuk memperkasa perkhidmatan awam, MaCGDI selaku penyelaras program MyGDI, membangunkan pelbagai platform perkongsian maklumat geospatial.

Platform perkongsian ini digunakan bagi menyokong dan memudah cara proses membuat keputusan dan perancangan oleh pihak pengurusan mengikut sektor berkaitan.

Mengimbas kembali mengenai pencapaian Program MyGDI, pelbagai inisiatif yang berinovasi tinggi berjaya dihasilkan.

Sejajar itu, antara inisiatif inovasi yang telah dibangunkan adalah aplikasi MyGeoMap; platform perkongsian Perkhidmatan Geospatial Dalam Talian Malaysia, Perkhidmatan Dalam Talian (MyGOS), Perkhidmatan Data MyGDI, MyGeotranslator; MyGDI Explorer; dan Aplikasi MyGeoName. Pembangunan Program MyGDI secara tidak langsung juga mempengaruhi hubungan sosial, ekonomi, perundangan, pendidikan dan kesihatan.

Semua agensi kerajaan dan swasta agar dapat berkongsi maklumat supaya rakyat mendapat maklumat yang terkini serta mengelak pertindihan usaha dalam perolehan data di lapangan, sekali gus menjimatkan jutaan ringgit wang negara yang boleh disalurkan kepada projek pembangunan yang lebih kritikal.

Sedia hadapi IR 4.0, teknologi pintar

Menjengah masa depan, ke arah Revolusi Perindustrian Keempat dan (IR 4.0) Ekonomi Digital, dunia kontemporari kini berada dalam transisi, yang bakal menyaksikan perubahan struktur besar-besaran dan membawa bersamanya teknologi yang bersifat destruptive dan breakthrough.

Pada masa akan datang, negara bakal menikmati hidup yang bestari, merangkumi pelbagai bidang seperti tadbir urus pintar, tenaga pintar, mudah alih pintar, penjagaan kesihatan pintar, infrastruktur pintar dan warga pintar.

Justeru, cabaran terkini yang sedang dihadapi negara adalah untuk meningkatkan daya saingnya pada peringkat kebangsaan, di mana melalui inovasi geospatial, sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan inovatif, responsif, cepat dan mudah.

Dalam konteks ini, teknologi geospatial yang moden, maklumat geospatial terkini membolehkan analisis geospatial dibuat dengan tepat dan cepat.

Menerusi inovasi teknologi geospatial yang terkini, kita mampu memberi komitmen yang serius dalam memacu agenda pembentukan masa depan Malaysia yang lebih baik.

NGIS ke-8 menyediakan Anugerah Geospatial Kebangsaan (AGK) 2018 dan Anugerah Penghargaan MyGOS 2017 yang merupakan satu inisiatif bagi mengiktiraf agensi yang bergiat aktif dan inovatif dalam bidang geospatial di Malaysia.

MyGOS telah dibangunkan oleh MaCGDI sejak tahun 2013 dan diguna pakai secara berkesan dan efektif terutama dalam pembangunan aplikasi yang melibatkan location-based di agensi.