Meskipun majoriti pemilik premis perniagaan atau kediaman mengambil langkah keselamatan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV), namun kebiasaannya tidak menghalang premis daripada dimasuki pencuri.

CCTV hanya sekadar membantu mengecam penjenayah setelah berlaku kes kecurian bagi membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan melalui bukti yang kukuh.

Sebaliknya, dengan teknologi Fitrah: Future Policing System yang dibangunkan okeh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) diharap dapat membantu mencegah kes jenayah melalui pengesanan awal sebelum berlakunya jenayah sekali gus menurunkan kadar kecenderungan penjenayah daripada melakukan perbuatan tersebut.

Ketua kumpulan, Dr. Azree Shahrel Ahmad Nazri dari Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat berkata, Fitrah merupakan satu teknologi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (IA) yang dilengkapi pengecaman manusia (deep learning), pengecaman aktiviti jenayah (Bayesian network dan penghasilan strategi anti jenayah (game theory).

Teknologi tersebut juga dibangunkan bukan hanya untuk kepentingan penyelidikan semata-mata, malah sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Melalui teknologi AI tersebut, aktiviti jenayah dikenal pasti sebagai langkah awal sebelum berlakunya jenayah.

“Teknologi pengecaman manusia mampu membezakan manusia dengan objek lain seperti kereta atau haiwan sementara penghasilan strategi anti jenayah digunakan untuk menghasilkan strategi yang dapat mengesan strategi pelaku iaitu mengesan aktiviti serta memberi amaran kepada penjenayah. Ini penting bagi mengurangkan motivasi atau menghalang tindakan penjenayah tersebut daripada meneruskan aktiviti mereka dengan memberi beberapa isyarat bahawa mereka sedang diperhatikan.

“Teknologi pengecaman aktiviti jenayah pula digunakan untuk membuat keputusan sama ada ia merupakan jenayah atau tidak,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan teknologi tersebut di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras baru-baru ini.

Tambah Azree Shahrel, teknologi tersebut dibangunkan kerana ketiadaan produk seumpamanya di pasaran tempatan yang dapat memenuhi permintaan dalam negara.

Jelasnya, kebanyakan teknologi AI yang canggih adalah dari Amerika Syarikat dan China yang boleh menimbulkan isu keselamatan yang jarang diberi perhatian.

“Syarikat-syarikat di Malaysia banyak menggunakan teknologi AI tanpa memikirkan kesannya seperti sistem pengecaman wajah dari luar negara sudah dimasukkan beberapa wajah ejen dari negara tersebut tanpa diketahui.

“Di sini, penyelidik perlu menyumbangkan kepakaran dalam penyelidikan berteknologi tinggi untuk memenuhi keperluan dan permintaan pasaran tempatan di samping dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.

“Kadang-kadang penjenayah mempunyai strategi untuk melakukan jenayah seperti beredar seketika dan kembali selang beberapa jam.

"Fitrah akan menjana beberapa strategi untuk mengesan dam meramal tindakan tersebut, “ katanya lagi.

Tambahnya, Fitrah merupakan pilihan terbaik ekoran mampu mengesan aktiviti jenayah sebelum berlakunya kes yang tidak diinginkan sekali gus membantu mengurangkan kos kecurian yang perlu ditanggung oleh pemilik premis.

Kata Azree Shahrel lagi, penyelidikan teknologi tersebut memberi manfaat kepada semua industri yang memerlukan pemantauan selama 24 jam sehari.

Fitrah dihasilkan menerusi pembiayaan geran Skim Geran Penyelidikan Prototaip (FRGS) daripada Kementerian Pendidikan dan dana InnoHub daripada peruntukan universiti penyelidikan UPM.