“Ini kerana, tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan sains dan teknologi zaman ini pesat dan pantas.”

Demikian ungkapan ringkas Elaine Yee Soo Chin, 43, ibu kepada seorang pelajar sekolah yang minat dalam bidang sains.

Elaine menambah, ibu bapa harus berperanan dalam melengkapi anak mereka dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, kebolehan dan keyakinan dalam bidang STEM agar dapat bersaing baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

“Saya berasa keberkesanan pendidikan STEM akan lebih menyerlah jika berlandaskan kemahiran insaniah.

“Pemikiran yang kreatif, inovatif dan kritis memainkan peranan yang penting dalam bidang STEM. Di samping itu, kemahiran menyelesaikan masalah, kerja berpasukan dan berkomunikasi juga harus dipertingkatkan dalam kalangan pelajar,”‘ ujarnya.

Berdasarkan hujah tersebut , dia banyak memberi dorongan kepada anaknya untuk melibatkan diri dalam teknologi robot.

Katanya, mereka bukan sahaja dapat menimba ilmu dari segi kejuruteraan dan pengekodan, malah mereka dapat belajar berkomunikasi dan kerja berpasukan.

Anak Elaine, Chloe Soh Ke Er, 10, yang bersekolah di SRJK (C) Yuk Chai, Petaling Jaya, Selangor begitu meminati sains dan berjaya menghasilkan robot pintar pertanian (AIR).

Selain Chloe, pembangunan robot itu melibatkan empat lagi pelajar dari sekolah yang sama iaitu Chester Ng Shan-Zi, Lum Mun Chak, Yeoh Sheng Xe dan Jayven Lee Cheng Kiat

Projek berkenaan melibatkan penggunaan robot untuk menjalankan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan di rumah. Ia bertujuan menggalakkan generasi muda untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.

Robot itu yang dinamakan Farmerbot terdiri daripada dua bahagian. Bahagian depan dikendalikan oleh alat kawalan jauh tanpa wayar dan bahagian belakang dikawal oleh aplikasi ciptaan pelajar diberi nama Airfarm 4.0.

“Kami memasang penguji tanah di bahagian depan robot untuk menilai kelembapan dan tahap kesuburan tanah. Setelah menerima maklum balas daripada penguji tanah, Farmerbot akan menyembur air untuk melembabkan tanah.

“Farmerbot juga mempunyai bahagian membajak untuk menggemburkan tanah dan penyemai untuk menaburkan biji benih,” kata Chloe.

Dalam pada itu, satu lagi projek dinamakan Work On Waste (WOW) melibatkan tiga daripada mereka iaitu Chester, Chloe dan Jayven.

Tujuan utama projek tersebut adalah untuk mengurangkan pembaziran buah atau sayur yang kurang menarik bentuknya. Robot yang dinamakan WOW Robotic System direka untuk memelihara kesegaran dan zat buah atau sayur tersebut secara pembekuan agar dapat diagihkan ke kawasan yang mengalami masalah kebuluran.

Konsep Internet of Things (IoT) digunakan untuk memantau jenis dan berat buah atau sayur yang dimasukkan ke dalam robot berkenaan.

Pintu robot dikawal menggunakan aplikasi telefon yang bergelar aplikasi WOW hasil ciptaan anggota pasukan penyelidik berkenaan dengan menggunakan perisian Thunkable.

Motor Tetrix digunakan bagi memutar pengisar untuk memotong buah atau sayur. Bekas kosong dihantar melalui tali sawat penghantar untuk mengutip hasilnya. Bekas yang berisi itu kemudian dihantar ke peti pembeku melalui trak gelungsur untuk proses pembekuan.

Chloe memberitahu, masalah pembaziran makanan dunia menjadi semakin membimbangkan.

“Di Malaysia 15,000 tan sisa makanan dihasilkan setiap hari. Walau bagaimanapun, makanan yang boleh dimakan sebelum dibuang adalah sehingga 3,000 tan sehari yang dapat memberi makan kepada 2.2 juta orang,’’ ujarnya.

Justeru, banyak buah-buahan dan sayur-sayuran tidak elok dibuang kerana permintaan rendah dan ini menyumbang kepada pembaziran makanan.

Selain itu, berdasarkan semakan di Internet, pihaknya mendapati satu pertiga daripada semua makanan yang dihasilkan di dunia adalah sia-sia.

Justeru, projek WOW dibangunkan bertujuan mengurangkan makanan buangan dan mengakhiri kelaparan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Dunia (SDG) iaitu kebuluran sifar.

“Kami menggunakan IoT dan konsep robotik untuk membina robot yang dapat membantu memelihara nutrien dan rasa asal buah-buahan dan sayur-sayuran yang hodoh sehingga dapat diagihkan ke bahagian lain di dunia untuk memberi makan kepada yang memerlukan,” katanya .

Jelasnya, robot tersebut dicadangkan diletak di pasar raya untuk mengutip sayur sayuran dan buah buahan yang tidak elok dan tidak dapat dijual.

Bahagian pertama robot memotong sayur kepada kepingan kecil-kecil.

Bahagian kedua robot akan membungkus sayur ke dalam satu bekas dan disimpan dalam peti sejuk bagi membolehkannya lebih tahan lama.

Semoga dengan gabungan tenaga antara Kementerian Pendidikan dan sekolah serta ibu bapa dapat melahirkan Malaysia yang berjaya dan mencipta nama dalam bidang STEM di persada dunia.

“Saya berpendapat STEM dan sains adalah cara pelajaran yang paling seronok.

“Selain hanya belajar di kelas dengan buku yang bosan, saya dapat mencuba pelbagai fakta yang dinyatakan di dalam buku dengan eksperimen yang benar, ia sangat menyeronokkan dan dapat mengingatkan fakta buku dengan lebih senang.

“Minat saya dalam robotik dipupuk sejak darjah satu.

“ Permainan interaktif, yang boleh membezakan warna sendiri, yang boleh berjalan ke sana sini menarik minat saya untuk belajar membina dan mempelajari bahasa robot atau coding,” ujarnya.

Chloe yang bermula dengan mencipta permainan sendiri berkata, dia baru sedar kemampuan peranti berkenaan tidak terhad kepada permainan sahaja, malah boleh membantu manusia dalam pelbagai bidang

“Faktor ini menakjubkan dan menambah minat saya untuk belajar robotik dan menyumbang kepada manusia.

“Robotik menyeronokkan dan menghibur serta menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya lagi.